Oleh Norfatimah Ahmad, Abdul Razak Raaff, Osman Lisut dan Srihanasham Noordin
KUALA LUMPUR: Penjelasan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai dakwaan baginda dan Istana Negara menyokong perhimpunan haram pada 10 November lalu mendedahkan tembelang dan niat buruk pembangkang menggunakan institusi Raja untuk kepentingan politik mereka.
Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) membidas taktik kotor pembangkang yang cuba mencemar kedaulatan baginda semata-mata mahu meraih sokongan rakyat, terutama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Sambil menyatakan sokongan penuh berhubung penjelasan baginda tidak pernah menyokong perhimpunan haram yang menyalahi undang-undang, mereka sepakat berkata, helah pembangkang itu umpama ‘membuka pekung di dada’.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata penafian baginda dan Istana Negara itu jelas menunjukkan tembelang sebenar pembangkang dan usahanya menarik sokongan rakyat.
Katanya, ia memberi tamparan hebat kepada pembangkang kerana cuba membabitkan serta mahu memperalatkan institusi Raja untuk kepentingan politik mereka.
“Tembelang penganjuran perhimpunan haram, termasuk parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah nampak dan jelas menunjukkan mereka gagal,” katanya.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata penjelasan baginda itu jelas menunjukkan institusi Raja menentang keras perbuatan pembangkang dan NGO yang cuba mengelirukan rakyat dengan dakwaan tidak berasas.
Katanya, ia menunjukkan pembangkang tidak menghormati martabat institusi Raja dan pendirian tegas baginda menerusi penjelasan itu sekali lagi menegaskan mereka tidak langsung menyokong sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata penafian itu amat jelas dan tidak perlu dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, ia juga membuktikan dakwaan pembangkang tidak benar dan mereka cuba babitkan institusi Raja selain mahu menjejaskan keamanan negara.
Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, berkata pembangkang perlu menghormati dan mendaulatkan institusi Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selain mementingkan keamanan negara.
Beliau berkata, perhimpunan haram yang didalangi pembangkang serta cubaan mempolitikkan institusi Raja adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan bertentangan undang-undang negara.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Datuk Reezal Merican Naina Merican, kesal dengan tindakan pihak berkenaan mengaitkan baginda semata-mata mahu menghalalkan tindakan mereka.
Katanya, kenyataan baginda jelas membayangkan institusi Raja tidak akan membenarkan budaya demokrasi jalanan menjadi kaedah politik sempit dan berkonsepkan matlamat menghalalkan cara.
“Kerajaan perlu bertindak tegas supaya demokrasi jalanan tidak menjadi mainan politik pembangkang selain generasi muda, terutama pelajar universiti tidak membiarkan diri mereka dijadikan alat propaganda pembangkang.
Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan kerajaan menghukum penganjur perhimpunan haram itu kerana melanggar undang-undang dan memanipulasi rakyat.
“Penganjur perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran pada masa akan datang. Mereka perlu diingatkan Malaysia mempunyai undang-undang dan bukan sesuka hati boleh menganjurkan perhimpunan tanpa permit.
“Begitu juga perbuatan menipu rakyat yang kononnya perhimpunan itu mendapat perkenan Istana Negara yang jelas pembohongan besar. Selain dihukum, penganjur perlu meminta maaf secara terbuka kepada warga Malaysia berikutan pembohongan mereka dengan cuba mengaitkan institusi diraja,” katanya.
Di JOHOR, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman membidas tindakan pembangkang yang menggunakan institusi Raja untuk kepentingan politik dan menganggap mereka hanya ingin mendapatkan perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa bagi memberi imej negatif kepada negara.
Katanya, motif pembangkang jelas tidak sihat dengan mengatakan sistem pilihan raya negara ini tidak mengikut demokrasi dan terus memberi tekanan kononnya, meminta kerajaan mengadakan pilihan raya yang lebih telus dan bersih.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata rakyat jangan terpedaya dengan dakyah parti pembangkang yang menggambarkan diri mereka seperti ahli parti politik yang terdesak.
Katanya, rakyat juga mesti yakin dan tidak hilang pedoman terhadap kerajaan yang selama ini menjadi tempat mereka bergantung harapan kerana pembangkang hanya berniat menimbulkan huru-hara dalam negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom, yang ditemui selepas Pertandingan Golf Perdana Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Tahun 2007 di Sungai Long Golf & Country Club di Kajang, semalam, berkata, kumpulan atau individu yang dikesan menggunakan nama Raja-Raja Melayu, terutama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk kepentingan peribadi atau politik boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Ketegasan kerajaan berhubung perkara itu adalah jelas dan polis serta Pejabat Peguam Negara boleh menentukan bentuk hukuman terhadap pihak terbabit.
“Jika benar berlaku dan terbukti ada pihak mengambil kesempatan menggunakan nama Raja-Raja Melayu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
“Bagaimanapun, perlu disiasat sejauh mana nama Raja-Raja Melayu itu digunakan dan apa tujuan mereka melakukan sedemikian,” katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment