Sunday, November 18, 2007

Putera lancar program bantuan basikal UPSR

Oleh Junita Mat Rasid

SEGAMAT: Putera Umno melancarkan program sumbangan basikal kepada murid yang mendapat keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, di seluruh negara bagi menggalakkan mereka terus mencapai kejayaan cemerlang.

Sebagai permulaan, 100 pelajar di kawasan Parlimen Labis menerima basikal, beg sekolah dan wang tunai RM100 seorang bagi menghargai kejayaan memperoleh 5A atau 7A dalam UPSR diumumkan dua hari lalu.

Majlis pelancaran sumbangan dilakukan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Labis, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, dekat sini, semalam.


Turut hadir Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Rahim dan Pengerusi Putera Umno Johor, Rusdin Mahamud.

Abdul Azeez berkata, program itu dilancarkan di kawasan Parlimen terpilih seluruh negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang murid. Siri kedua program akan diadakan di Kedah, esok sebelum ke semua negeri.

"Jelajah Putera Umno diadakan untuk memberi suntikan semangat dan mengangkat martabat anak kita yang mendapat kecemerlangan dalam UPSR kerana ini kali pertama mereka menduduki peperiksaan besar.



"UPSR penting untuk meniup semangat pelajar menghadapi peperiksaan seterusnya, iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program berkenaan.

Katanya, sumbangan juga selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meningkatkan pendidikan negara melalui pemansuhan yuran dan kemudahan buku teks kepada semua rakyat.

Dr Chua turut memuji dan berbangga dengan program Putera Umno kerana ia membabitkan sumbangan kepada semua tanpa mengira perbezaan kaum.

Katanya, program tidak bermusim itu bukan untuk memancing undi berikutan pilihan raya umum hampir tiba, sebaliknya kegiatan tahunan untuk memberikan sumbangan kepada pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang.

No comments: