Sunday, November 18, 2007

Ahli Puteri jangan melaram

ALOR STAR 17 Nov. – Ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO diingatkan agar tidak menjadikan tempoh menghadapi pilihan raya umum akan datang sebagai pentas untuk melaram atau meminta-minta sesuatu daripada parti.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, sebaliknya lebih 400,000 ahli pergerakan itu perlu menjadikan tempoh berkenaan sebagai medan untuk melancarkan kempen besar-besaran bagi membantu kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN).

“Apabila mahu menghadapi pilihan raya, bukan bermakna itulah masanya kita mengira dan bertanya berapa banyak baju kita terima. Ini bukan budaya kita.

“Tetapi ia merupakan persiapan dan permulaan untuk saudari-saudari semua bekerja keras kerana pilihan raya tidak menunggu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Pergerakan Puteri UMNO Kedah di Dewan Sri Mentaloon, di sini semalam.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 1,200 ahli Puteri UMNO negeri itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Shahanim Mohamad Yusoff.

Noraini menambah, memandangkan pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, ahli-ahli Puteri UMNO perlu mengambil inisiatif dengan turun padang berjumpa dan mendekati kumpulan fokus.

No comments: