KANGAR, 17 Nov. – UMNO akan meminda peraturan persidangan parti itu di semua peringkat untuk dikuatkuasakan mulai tahun depan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.
“Draf pindaan itu akan dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti itu akhir bulan ini sebelum dikemukakan kepada Majlis Tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, semua cadangan itu dikumpul daripada anggota-anggota parti semasa kursus untuk setiausaha UMNO di semua peringkat tidak lama dahulu.
Antara perkara yang akan dipinda ialah peraturan mengenai kuorum, kata Radzi, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, tanpa menghuraikan lanjut.
“Pindaan ini bukan memperketatkan peraturan tetapi sebagai penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan sistem pemilihan parti bertambah baik, UMNO sedang meminda kod etika calon.
Katanya, setiap anggota UMNO yang berhasrat bertanding hendaklah menjelaskan yuran parti sebelum 31 Dis tahun ini kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka tidak layak bertanding.
“Mereka bukan sahaja tidak boleh bertanding tetapi jika hadir persidangan, mereka juga tidak boleh mengambil bahagian dalam ucapan kerana hanya layak sebagai pemerhati,” kata Radzi.
Pada 2004 beberapa calon yang menawarkan diri untuk bertanding telah diketepikan kerana mereka tidak membayar yuran.
“Kalau boleh bayar sendiri yuran, jangan harap orang lain. Hanya RM1 sahaja,” katanya.
– Bernama
No comments:
Post a Comment