Sunday, November 18, 2007

PM patut arah polis lebih serius banteras jenayah

Abdul Halim Mohd Rashid
Sun | Nov 18, 07 | 2:56:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub meminta Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan pihak polis memberikan tumpuan yang lebih serius kepada pembanterasan jenayah dan bukan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang diizinkan oleh Perlembagaan Malaysia.

"Apa yang berlaku sekarang, kita lihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada tindakan memerangi kegiatan-kegiatan pembangkang yang tidak disenangi parti pemerintah walaupun kegiatan-kegiatan itu tidak bertentangan dengan perlembagaan," katanya.

Salahuddin juga meminta Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak mempersalahkan kaedah laporan media mengenai kejadian jenayah yang tinggi di negara ini sebaliknya mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan jawatan kerana semakin ketara beliau tidak kelihatan mampu mengendalikan soal keselamatan dalam negara yang semakin diancam jenayah.

"Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini Perdana Menteri berkata, cara penyampaian berita secara dramatik telah menggambarkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat.

"Perdana Menteri mesti sedar jika tidak ada penyampaian berita secara dramatik pun, rakyat sudah merasa negara ini tidak lagi selamat lagi kerana jenayah yang semakin menjadi-jadi," katanya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini, katanya, pegawai-pegawai kanan polis bergaduh secara terbuka sesama sendiri dalam isu yang dikaitkan dengan ketua sindiket jenayah.

"Adakah Perdana Menteri tidak sedar bahawa rakyat tidak merasa selamat kerana pegawai tertinggi polis dilaporkan menjadi orang suruhan ketua sindiket jenayah atau beliau pura-pura tidak sedar?" soal beliau.

Salahuddin juga mempersoalkan mengapa tidak ada siasatan yang melampaui keraguan dibuat ke atas akuan berkanun anggota polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) di Cawangan D7 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), JSJ, Johor, Mior Fahim Ahmad yang mendedahkan penguasaan ketua sindiket jenayah ke atas polis.

"Lebih dari itu, mengapa tidak dibuat siasatan tanpa sebarang keraguan apabila bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof mengaitkan tindakan terhadapnya dengan penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh atau Tengku ke Jeli Kelantan.

"Mengapa JSJK terpaksa mendapatkan nasihat perundangan daripada sebuah firma guaman yang kemudiannya membantu mereka menyediakan draf afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh bagi menolak permohonan pesalah itu untuk mengenepikan perintah buang daerah terhadapnya?

"Mengapa Penasihat Undang-undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, seorang pegawai Pejabat Peguam Negara, enggan memberi nasihat dan sebaliknya mengarahkan Ramli dan pegawainya menyediakan afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh?" tanya Salahuddin sambil menyatakan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab oleh Abdullah selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Menurut, banyak perkara pelik yang berlaku di bawah pentadbiran Abdullah dan beliau sepatutnya mengutamakan kepentingan negara dan keselamatan rakyat dengan meletakkan jawatan. - mks.

No comments: