Sunday, November 18, 2007

Pengalaman satu penggal 'kayu ukur' manifesto PAS Terengganu

Awang Harun
Sun | Nov 18, 07 | 10:47:00 am MYT

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Hrkh) - Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dilihat semakin hampir meski pun tarikh tepatnya masih menjadi 'teka-teki' serta rahsia peribadi Perdana Menteri sejak 50 tahun Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

PAS Terengganu pula kini berada dalam keadaan siap sedia pada bila-bila masa dari sekarang jika tarikh keramat PRU itu diumumkan.

Sehubungan itu, satu Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 berjaya diadakan bagi memberi kefahaman yang sejelas-jelasnya berkenaan manifesto tersebut.

Selain itu, memberi peluang kepada para peserta mengemukakan pandangan serta idea berhubung dengan manifesto PAS Terengganu itu.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata pengalaman memerintah satu penggal (1999-2004) telah dijadikan 'kayu pengukur' memantapkan manifesto PAS Terengganu kali ini.

Ini kerana, katanya sepanjang usia satu penggal itu PAS Terengganu telah membuktikan kejayaan besar dalam meletakkan asas kepada sebuah kerajaan Islam.

"Kita (PAS) pernah memerintah negeri selama satu penggal dan telah membuktikan kejayaan besar sama ada dalam meletakkan asas kepada sebuah kerajaan Islam termasuk membuktikan keadilan yang dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan politik.

"Kita (PAS) telah mewujudkan satu keadaan berbeza dengan Barisan Nasional yang dapat dilihat oleh rakyat dengan terang dan nyata," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 di Dewan Dato' Wan Mutalib di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, semalam.

Namun begitu, katanya 'kelemahan' PAS kerana kekurangan bagi menghadapi demokrasi media yang berat sebelah kepada kerajaan BN.

"Cuma kita (PAS) kekurangan menghadapi demokrasi media. Saya yakin jika demokrasi media berlaku dengan sebaik-baik. Apa yang telah kita (PAS) capai dalam masa pemerintahan menjadi hujah yang kuat kepada perjuangan kita," ujarnya.

Dato' Seri Abdul Hadi menjelaskan manifesto PAS Terengganu kali ini juga menambah beberapa perkara baru yang lebih menguatkan lagi serta mengukuhkan perkara yang telah sedia dilaksanakan dahulu.

Oleh kerana, katanya perkara yang lalu telah ditunaikan dan bukan sahaja berjanji, maka penting juga supaya rakyat menyedari bahawa PAS akan melaksanakan perkara yang dijanjikan itu dalam manifesto.

Pada majlis tersebut pembentangan manifesto telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali serta soal jawab bersama para peserta lebih satu jam. - mks.


No comments: