Sun | Nov 18, 07 | 10:05:50 am MYT
KANGAR, 18 Nov (Hrkh) - Bagi menangkis kekeliruan masyarakat terhadap program Himpunan Rakyat 10 November lalu, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) mengambil inisiatif menyediakan risalah penerangan untuk edaran kepada orang ramai.
Risalah tersebut mengandungi ringkasan maklumat mengenai Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan mengapa diadakan himpunan serta hak rakyat untuk berhimpun pada muka hadapan.
Manakala di muka sebelahnya pula dipaparkan tuntutan-tuntutan Bersih sepertimana yang terkandung di dalam memorandum yang diserahkan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.
Jumaat lalu, DPPPs mengedarkan risalah tersebut di dua buah masjid di pinggir bandar Kangar yang dikunjungi ramai jemaah untuk bersolat Jumaat.
Masjid-masjid yang tersebut ialah di Bohor Empiang dan Bohor Pulai yang sering dipenuhi oramg ramai yang majoritinya para pekerja sektor awam dan swasta.
Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman sendiri mengetuai kumpulan di Masjid Bohor Empiang, manakala Pengarah Unit Amal Perlis, Ustaz Rosmadi Ramli pula mengetuai kumpulan di Masjid Bohor Pulai.
"Orang ramai menyambut baik program yang dianjurkan ini dan ramai yang menunggu-munggu risalah seumpama ini memandangkan mereka hanya mendapat berita dari media arus perdana sahaja," kata Utaz Ya'akub. - mks.
No comments:
Post a Comment