Sunday, November 18, 2007

Murid cemerlang UPSR dapat basikal

LABIS 17 Nov. – Murid-murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 bakal menerima sumbangan basikal dan beg sekolah daripada Putera UMNO tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangan itu akan disampaikan mengikut kawasan Parlimen di seluruh negara.

Menurut beliau, ia tidak hanya melibatkan murid Melayu yang mendapat 5A tetapi juga murid dari sekolah aliran Cina dan Tamil yang memperoleh 7A dalam peperiksaan itu yang diumumkan di seluruh negara, kelmarin.

‘‘Sumbangan ini dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk murid berkenaan terus meraih kejayaan akademik hingga ke sekolah menengah.

‘‘Program ini juga merupakan satu daripada usaha parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menyemarakkan pencapaian dalam pendidikan tanpa mengira bangsa atau kaum murid-murid yang cemerlang dalam keputusan UPSR,” katanya.

Abdul Azeez berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran sumbangan Basikal kepada murid-murid cemerlang UPSR 2007 Parlimen Labis di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, dekat sini hari ini.

Pelancaran pertama program seumpamanya di kawasan Parlimen itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek merangkap Ahli Parlimen Labis yang menyaksikan 100 murid menerima sumbangan tersebut.

Semalam, Kementerian Pelajaran mengumumkan sebanyak 48,400 atau 9.7 peratus daripada 500,786 calon peperiksaan UPSR tahun ini memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran.

Menurut Abdul Azeez, sumbangan itu membuktikan Putera UMNO dan BN sentiasa berusaha meningkatkan mutu pendidikan selain menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Sementara itu, Soi Lek berkata, langkah yang diambil oleh Putera UMNO membuktikan BN tidak mementingkan perbezaan kaum dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang mencapai kecemerlangan dalam akademik.

No comments: