Tuesday, November 13, 2007

Perhimpunan Batu Buruk, Umno minta polis bertindak!

Awang Harun
Tue | Nov 13, 07 | 3:48:40 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 13 Nov (Hrkh) - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang dilihat semakin terdesak dengan kebangkitan rakyat memohon pihak polis bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat menganjurkan perhimpunan.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam, beliau yang merujuk kepada ura-ura satu program di Batu Buruk pada keesokan hari (malam ini) yang berkata,"kita tidak mahu kejadian pada 8 September berulang di Terengganu."

Katanya, kedegilan penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu sesungguhnya mencabar kedaulatan undang-undang dan telah terbukti mereka tidak mampu mengawal penyokong-penyokong dari bertindak ganas dan melanggar undang-undang apabila pihak berkuasa ingin mengambil tindakan menyurai mereka.

"Mereka sengaja ingin mencetuskan keadaan kacau-bilau, huru-hara dan menyusahkan rakyat. Sehubungan itu, saya memohon supaya pihak polis bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat menganjurkan perhimpunan ini," ujarnya.

Menurutnya, PAS ingin menganjurkan perhimpunan haram pada 13 November di kawasan yang tidak sesuai dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam kerana premis itu terlalu sempit dan tidak mampu menampung bilangan orang yang ramai seperti yang disasarkan.

Katanya, kesesakan lalu lintas dan bunyi bising akan mengganggu penduduk-penduduk di kawasan tersebut dan pihak polis telah tidak meluluskan permit untuk perhimpunan ini.

"Penganjuran perhimpunan adalah salah dari segi undang-undang. Ini adalah perhimpunan haram," katanya. - mks.


No comments: