Tue | Nov 13, 07 | 6:32:16 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak agar Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N. Siva Subramaniam meletakkan jawatan daripada suruhanjaya tersebut berikutan kenyataannya bahawa polis tidak menggunakan kekerasan dalam perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November lalu.
Jawatankuasa Bersih, Yap Swee Seng menegaskan kenyataan Siva itu amat memeranjatkan kerana dilihat bertentangan dengan mandat Suhakam untuk membela hak asasi manusia.
Malahan katanya dilihat berbeza dengan kenyataannya selama ini berhubung beberapa insiden kekejaman polis yang berlaku.
Jelas Pengarah Eksekutif Suaram ini, laporan daripada media antarabangsa mengenai perhimpunan tersebut secara langsung jelas menunjukkan kekejaman yang dilakukan polis.
Beliau melahirkan kekesalan bagaimana Siva menyatakan tiada kekejaman yang berlaku pada hari tersebut.
Beliau berkata demikian dalam sidang media anjuran pertubuhan tersebut di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Salahuddin Ayub yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut melahirkan kekecewaan kerana sebelum ini, Suhakam dalam laporan inkuiri awam berhubung tragedi 'Bloody Sunday' juga menyokong perhimpunan aman seta mengharapkan pihak polis menghapuskan permohonan permit untuk berhimpun.
"Kenyataan Siva itu telah menghakis kepercayaan kami kepada Suhakam, sedangkan badan ini dikatakan bertanggungjawab membela hak asasi manusia.
"Kami mengharapkan Suhakam tidak mengikis kepercayaan rakyat dengan pendirian seperti yang ditunjukkan Siva itu. Sedangkan dalam perhimpunan tersebut ada antara peserta yang cedera parah akibat kekasaran pihak polis,"katanya.
Selain Yap Swee Seng dan Salahuddin, sidang media tersebut dihadiri oleh beberapa orang jawatan kuasa Bersih yang lain antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Teresa Kok,Maria Chin Abdullah dan Khai Loon.
Dalam pada itu, Dr Syed Azman menyatakan Bersih juga tidak teragak-agak untuk mengadakan pertemuan dengan pihak polis berhubung satu laporan polis terhadap Bersih pada Khamis ini.
Empat orang pemimpin Bersih iaitu Mohamad Sabu, Ronnie Liu, Dr Syed Azman dan Sivarasa Rasiah akan memberi keterangan di Jabatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10.00 pagi.
Jelas Syed Azman beliau dan rakan-rakannya yang lain tidak gentar apabila dipanggil untuk memberi keterangan kerana perhimpunan yang diadakan merupakan satu perhimpunan aman.
Syed Azman sewaktu diajukan wartawan mengenai kenyataan Perdana Menteri bahawa perhimpunan tersebut untuk mengheret Institusi Di Raja dalam kancah politik, beliau menafikan kenyataan tersebut.
"Kami tidak sama sekali hendak mengheret Institusi Raja dalam politik, tetapi ke mana lagi rakyat hendak mengadu jika rayuan kami kepada pihak Perdana Menteri dan pihak SPR tidak dilayan diterima malahan tidak dilayan dengan baik.
"Maka dengan sebab itulah kami meletakkan Yang di-Pertuan Agung dan Raja-raja Melayu sebagai payung kepada Perlembagaan Malaysia dan rakyat Malaysia kepada sebuah negara benar-benar merealisasikan tuntutan demokrasi, "katanya.
Jelasnya lagi, kenyataan Abdullah itu juga berkemungkinan disebabkan tekanan terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara.
Tambahnya, hasrat kabinet, Umno dan Barisan Nasional mungkin tidak tercapai kerana adanya bangkangan daripada pihak istana terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru.
Pada perkembangan tersebut, Salahuddin turut menjelaskan, surat jawapan daripada Yang di-Pertuan Agung yang dihantar kepada Bersih yang menyatakan akan menerima memorandum tersebut menunjukkan bahawa baginda bersedia mendengar tuntutan Bersih terhadap empat perkara ke arah pilihan raya adil dan bersih.
Dalam sidang akhbar itu juga, jawatankuasa Bersih menunjukkan surat jawapan daripada Yang di-Pertuan Agung sebagaimana yang diminta oleh para wartawan.
"Jika tuntutan ini sebagai tuntutan yang tidak penting dan remeh, kenapa baginda bersedia untuk menerima penyerahan memorandum kami. Dan pada 10 haribulan itu juga setiausaha sulit baginda menerima memorandum tersebut.
"Ini bermakna baginda amat prihatin dengan tuntutan rakyat dan bukan soal mengheret baginda dalam kancah politik," tegas Salahuddin.
Sementara itu Salahuddin yang ditemui sejurus sidang akhbar memberi isyarat yang jelas kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya melihat perhimpunan 100,000 orang ini sebagai kebanjiran bantahan rakyat dan tidak menjadikan SPR sebagai bilik gerakan BN.
Jelasnya, Abdul Rashid harus belajar daripada perhimpunan tersebut dan melihat sebagai protes rakyat yang terbesar di negara kita.
Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan Bersih akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar sekiranya pihak SPR dan kakitangannya menjadikan SPR sebagai bilik gerakan BN.
Dalam sidang media itu juga, Bersih menggalakkan semua rakyat memakai pakaian berwarna kuning pada setiap hari Sabtu. Bersih turut mengumumkan penyertaan Parti Pasok Sabah ke dalam Bersih menjadikan enam buah parti politik yang menyertai pertubuhan tersebut.
Jelas Maria Chin, Bersih tidak menghadkan kepada mana-mana pertubuhan atau parti politik untuk menyertai mereka. Malahan jika Umno dan BN hendak menyertai pertubuhan tersebut, ia dialu-alukan. - mks.
No comments:
Post a Comment