Tue | Nov 13, 07 | 8:42:57 am MYT
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Perhimpunan aman yang dianjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah bertujuan menuntut sebuah pilihan raya yang bebas bersih dan adil dan ia selaras dengan perayaan hari rakyat, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Setelah semua usaha untuk berbincang dengan pihak berkuasa gagal diperolehi maka rakyat mengambil keputusan untuk menyerahkan satu Memorandum Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong tentang betapa perlunya pilihan raya yang bebas bersih dan adil, katanya.
Walaupun menghadapi berbagai-bagai cabaran berbentuk sekatan, tekanan mahupun ugutan rakyat tetap kekal dengan ikrar dan janji untuk berhimpun, ujar Dr Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Makna sebenar perjuangan
"Inilah yang saya katakan seawal tadi Hari Rakyat tahun ini memberi makna sebenar perjuangan rakyat, dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataannya semalam.
Warna kuning yang menjadi warna pilihan perhimpunan telah melahirkan satu 'Gelombang Kuning' yang sekali gus memberi makna rakyat mahukan perubahan besar di dalam segala aspek pentadbiran tempang yang berleluasa dewasa ini, katanya.
Lautan manusia yang terdiri dari pelbagai bangsa agama budaya dan kepercayaan lantas menjangkaui peringkat umur dan status dalam masyarakat benar-benar menakjubkan, ujarnya.
Justeru dengan mengambil semangat rakyat ini dan bersempena sambutan Hari Rakyat beliau menyeru agar gelombang rakyat ini dibawa bersama di dalam pilihan raya akan datang.
"Inilah masa untuk berubah; ubah sebelum parah, ubah demi maruah,"katanya.
Kebangkitan generasi muda
Sementara itu, Angkatan Muda KeADILan (AMK) memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas berjayanya himpunan aman tersebut.
"Puluhan ribu rakyat yang membanjiri ibu kota membuktikan bahawa gelombang kesedaran masih lagi wujud di kalangan masyarakat yang mahukan perubahan sistem yang sekian lama kotor dan korup," kata Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa.
Dalam keadaan media menggelapkan kejayaan perhimpunan ini dengan memainkan pelbagai rentak sumbang propaganda kerajaan, sumbangan generasi muda yang hadir adalah amat dihargai, katanya.
Terbukti bahawa masih wujud kesedaran di kalangan generasi muda untuk memimpin perubahan untuk melihat Malaysia berada dalam kondisi yang baik di masa hadapan melalui tertegaknya sistem pilihan raya yang bersih dan adil sebagai tunjang demokrasi, katanya.
"Isunya bukan berhimpun, isunya bukan berdemonstrasi.Kesedaran yang tinggi generasi muda ke atas hak asasi mereka yang terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah amat membanggakan, di saat mereka faham dengan kepincangan sistem yang berlaku selama ini," ujarnya.
Tiada masalah berlaku
Terbukti, tidak ada sebarang masalah dan kesulitan yang timbul sepanjang perhimpunan berlangsung, katanya.
Ertinya rakyat bijak, generasi muda bertambah matang dalam menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang patriotik dan cintakan kebenaran, katanya.
AMK mengharapkan agar generasi muda pada hari ini dapat menanamkan kesedaran yang sama dan lebih baik di masa akan datang, katanya.
Bagi Fariz di bahu generasi mudalah tergalas harapan segenap lapisan rakyat untuk melihat negara ini bingkas daripada penyelewengan yang menggelapkan masa depan agama, bangsa dan negara, katanya.
Sabtu lalu, lebih 100,000 rakyuat berhimpun dibeberapa lokasi untuk menyertai himpunan aman anjuran Bersih bagi menuntut satu pilkihan raya adil dan bersih.
Begitupun himpunan itu sedikit dicemari dengan tindakan kasar polis yang membedil pemedih mata ke arah orang ramai yang berkumpul.
Namun perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara yang dipimpin Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang tidak pun diganggu pihak polis.Memorandum berjaya diserahkan kepada pihak Istana Negara. - mks.
No comments:
Post a Comment