KUALA LUMPUR: Pelabur asing tidak berminat untuk mengetahui mengenai parti pembangkang di negara ini, sebaliknya mereka mahu melihat dasar kerajaan yang properniagaan bagi membolehkan hubungan serantau dapat diteruskan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata sepanjang pertemuannya dengan pelabur asing di luar negara, tidak sedikit pun persoalan mengenai pembangkang dibangkitkan.
"Tidak pernah sekali pun saya ditanya mengenai pihak pembangkang walaupun saya kerap ke luar negara dan baru saja kembali dari Eropah.
"Pelabur tidak berminat dengan parti pembangkang. Apa yang menjadi minat mereka adalah untuk melihat kerajaan meneruskan dengan dasar yang menyokong perniagaan dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan mereka membuat wang serta memasuki pasaran serantau," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan semalam ketika diminta mengulas sama ada pelabur di luar negara ada bertanya mengenai perkembangan parti pembangkang di negara ini, susulan demonstrasi jalanan Ahad lalu, berhampiran Dataran Merdeka, yang didalangi parti pembangkang.
Rafidah ditemui selepas perasmian pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Intrade) 2007 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pameran empat hari anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu disertai 366 syarikat, termasuk 48 syarikat dari luar negara.
Terdahulu, Perdana Menteri turut merasmikan Menara Matrade di Jalan Duta, bangunan berkeluasan lebih 106,000 meter persegi yang turut menempatkan Pusat Pameran dan Persidangan Pameran, Pusat Pameran Eksport Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Smidec) dan Perbadanan Produktiviti Negara (NPPC), selain ibu pejabat Matrade.
Mengenai harga minyak mentah dunia yang tinggi ketika ini, Rafidah berkata, ia bergantung kepada struktur subsidi baru yang sedang dirangka kerajaan.
"Seperti diumumkan Perdana Menteri, kerajaan sedang meneliti struktur subsidi baru. Perkara ini sedang dibuat pihak yang berwajib dan ia kini pada peringkat teknikal.
"Ia sedang dirangka, justeru beri kami masa. (Tarikh pengumuman), saya tidak tahu. Kita tunggu pengumuman kerajaan," katanya.
Abdullah ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan agung Umno, Jumaat lalu, berkata kerajaan akan melakukan penstrukturan semula sistem subsidi menerusi konsep pengagihan lebih adil yang mensasarkan rakyat berpendapatan rendah sebagai penerima utama bantuan itu.
Harga minyak mentah bagi penghantaran Disember diniagakan pada AS$95.08 satu tong, semalam.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment