Tuesday, November 13, 2007

Dakwaan Pas penipuan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Dakwaan Pas bahawa tindakan parti itu bersama beberapa parti pembangkang lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan haram di sini Sabtu lalu mendapat sokongan Istana Negara adalah satu penipuan kepada rakyat.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berang dengan dakwaan itu berkata pembangkang sanggup membuat tafsiran salah kerana semakin terdesak untuk menarik sokongan rakyat walaupun menyedari risiko bakal dihadapi.

Malah, katanya, dakwaan itu mengesahkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tindakan pembangkang itu adalah untuk mengheret institusi raja ke kancah politik.


"Memang benar mereka nak mengheret institusi raja ke kancah politik seperti kata Pak Lah semalam. Kalau setakat serah memorandum dan diambil, kemudian kata tindakan mereka disokong Istana Negara itu adalah penipuan.

"Apa yang mereka lakukan ini sebenarnya melanggar semangat Perlembagaan, sebab Raja Berperlembagaan dinasihat oleh Perdana Menteri," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pas tindakan Istana Negara menerima memorandum selepas perhimpunan haram Sabtu lalu, bermakna Raja-Raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong sensitif dengan rayuan mereka supaya diadakan pilihan raya bersih dan bebas.

No comments: