Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
MELAKA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengutuk tindakan beberapa pertubuhan dan parti pembangkang yang mendalangi perhimpunan serta perarakan haram di ibu negara Sabtu lalu yang disifatkannya sebagai perbuatan sia-sia.
Beliau berkata, perhimpunan dan perarakan itu perbuatan tidak demokratik serta tidak bertanggungjawab kerana mereka hanya ingin menjadikan keadaan huru-hara di negara ini.
"Malaysia negara aman dan harmoni... kenapa perlu ada perhimpunan seperti itu yang kemudian menjadikan keadaan huru-hara. Sekiranya hendak berpolitik atau memerintah kerajaan, ia mesti melalui proses pilihan raya dan bukannya mengadakan perhimpunan haram.
"Jika proses demokrasi ditolak, inilah yang menjadikan banyak negara mengamalkan pemerintahan kuku besi serta bermasalah kerana rakyat yang memilih kerajaan menggunakan saluran menerusi demonstrasi jalanan," katanya semalam.
Justeru, beliau berkata, rakyat sepatutnya menolak perhimpunan berkenaan dan bukan menyertainya.
Mohd Ali berkata, beliau menyokong tindakan polis menahan beberapa individu daripada kumpulan berkenaan untuk dibawa ke muka pengadilan, selain mengesyorkan tindakan keras dikenakan supaya pihak terbabit tidak mengulangi perbuatan mereka.
Ketua Menteri Melaka itu berkata, demokrasi di negara ini adalah telus dan pembangkang tidak perlu mempertikaikan undang-undang yang dilaksanakan.
"Negara kita adalah sebuah negara demokrasi. Calon Barisan Nasional (BN) kalah dua undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning, Kelantan pada pilihan raya 2004 kita mengakuinya dan ia membuktikan kerajaan mengamalkan pemerintahan demokrasi.
"Jika kerajaan bersifat sebaliknya, kita tidak akan menerima hakikat itu kerana kalah satu atau dua undi kita hilang satu kerusi dan itu menandakan demokrasi yang tulen diamalkan di negara ini," katanya.
Mohd Ali berharap orang ramai terutama golongan muda dan wanita tidak mudah diperalatkan kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri.
"Saya rasa eloklah periksa dengan pihak berkuasa sebelum menyertai mana-mana perhimpunan anjuran kumpulan tertentu," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment