Wednesday, November 14, 2007

Pas berkuasa kerana SPR adil

PASIR PUTEH 13 Nov. – Kerajaan Pas tidak mungkin boleh memerintah begitu lama di Kelantan sekiranya benar dakwaan para pemimpin parti itu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Md. Nor menegaskan, dengan tuduhan pilihan raya tidak diadakan dengan adil bagi mempengaruhi rakyat, Pas sepatutnya turut tidak mengakui kemenangan mereka di negeri ini.

“Seramai 23 ahli Dewan Undangan Negeri dari parti Pas yang menduduki kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu, sepatutnya melepaskan kerusi masing-masing sekiranya benar SPR tidak adil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anehnya, kata beliau, kerusi yang disandang selepas menerima undian rakyat terus dipertahankan sehingga 18 tahun kerana kepentingan mereka, walaupun pada masa yang sama mereka terus menerus memperlekehkan kewibawaan SPR.

Katanya, apa yang pemimpin Pas lakukan termasuk turut serta dalam menggerakkan perhimpunan haram adalah untuk mencari alasan bahawa sekiranya kerajaan Pas Kelantan yang kini goyah tumbang kelak, ia bukan kerana ditolak oleh rakyat.

Beliau berkata, kebimbangan para pemimpin Pas semakin ketara kerana ramai penyokong mereka beralih memberi sokongan kepada UMNO akibat kecewa dengan gelagat para pemimpin Pas.

“Dalam kawasan Parlimen Pasir Puteh sahaja, lebih 2,000 penyokong Pas telah beralih sokongan kepada UMNO selepas pilihan raya umum 2004 bagi memastikan berlakunya perubahan tampuk pemerintahan Kelantan kelak,” ujarnya.

No comments: