PEKAN: Wanita adalah tulang belakang Umno dan parti tidak mungkin tidak dapat melaksanakan kegiatan yang dirancang jika golongan itu dipinggirkan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Malah, Timbalan Presiden Umno itu berkata, mesyuarat cawangan Umno juga tidak dapat dimulakan tanpa kehadiran wanita yang akan menyebabkan masalah korum.
Beliau berkata, kehadiran 2,500 wanita dari cawangan Umno Bahagian Pekan untuk program tadarus dan khatam al-Quran pagi semalam membuktikan mereka penyokong dan kumpulan yang setia kepada Umno.
"Kehadiran yang ramai ini membuktikan wanita menjadi tulang belakang Umno dan kita yakin, tanpa wanita, Umno tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti dengan jayanya.
"Saya terharu dengan sokongan diberikan dan sangat menghargai semangat setia kepada Umno yang ditunjukkan," katanya selepas tamat majlis berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.
Kehadiran Najib ke dewan itu diumumkan secara tiba-tiba oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum itu merasmikan majlis berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Ishak Muhamad.
Terdahulu, Rosmah berkata, al-Quran yang diturunkan pada Ramadan, bukannya barang antik yang perlu disimpan di tempat tinggi serta dipenuhi debu, sebaliknya perlu dibaca, difahami, dikaji dan diamalkan dalam kehidupan harian.
"Mereka yang beriman dengan al-Quran, membaca, memahami dan menghayatinya akan dilimpahi petunjuk daripada Allah.
"Al-Quran adalah kitab ilmu yang tiada tolok bandingnya. Jika ingin maju, kita perlu mendampingi al-Quran," katanya.
Rosmah berkata, beliau sendiri menganjurkan kelas belajar al-Quran selama dua jam setiap Khamis di kediamannya di Kuala Lumpur dan berjaya membaca dan memahami tafsirannya dalam enam tahun.
"Saya rasa tenang, sabar dan lebih bertakwa selepas mampu membaca al-Quran bersama tafsirannya.
"Saya harap wanita lain boleh menganjurkan majlis belajar al-Quran di tempat masing-masing" katanya.
No comments:
Post a Comment