Monday, October 08, 2007

MIUP bukti PKR ada masalah dalaman – Najib

PEKAN 7 Okt. – Penubuhan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) oleh bekas Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kepong, Datuk S. Nallakaruppan memberi gambaran PKR kini berhadapan dengan masalah dalaman yang mampu menggugat keutuhan parti tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walau apa juga yang berlaku dalam PKR, beliau tetap menunggu kenyataan rasmi daripada Nallakaruppan tentang pendiriannya terhadap penubuhan MIUP itu.

‘‘Mungkin ada masalah dalaman yang besar dalam Parti Keadilan, sebab itulah Datuk Nalla tidak bersama lagi dalam Keadilan dan mengambil keputusan untuk menubuhkan partinya sendiri.

‘‘Saya tunggu komen setelah Datuk Nalla mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendiriannya itu,” kata Najib kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di sini hari ini.

Semalam, Nallakaruppan yang juga seorang ahli perniagaan mengumumkan penubuhan parti politik baru MIUP yang mewakili kaum India dengan beliau sendiri akan menjadi Presiden parti itu.

Menurut Najib, dalam sistem demokrasi berparlimen, pihak- pihak tertentu boleh menubuhkan parti politik dan terpulang kepada rakyat untuk menentukan siapakah yang mereka hendak beri sokongan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, sokongan yang bakal diperoleh juga tertakluk kepada dasar-dasar yang diperjuangkan oleh parti berkenaan.

‘‘Terpulang kepada rakyat untuk menentukan siapa yang mereka sokong. Dasar yang diperjuangkan juga ditentukan oleh parti yang ditubuhkan oleh Datuk Nalla itu,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis tersebut Najib berkata, semakin ramai golongan korporat di negara ini mulai sedar akan kepentingan untuk mengeluarkan zakat.

Beliau memberitahu, kesedaran tersebut juga mencerminkan kejayaan pemerintahan negara yang mampu mentadbir negara dengan baik dan berkesan.

Najib berharap kecemerlangan itu dapat dikekalkan bagi membolehkan ekonomi negara dapat berkembang dengan lebih baik.

‘‘Umat Islam di negara ini sepatutnya bersyukur kerana penduduk miskin mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kita perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa masyarakat Islam di negara luar,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 2,003 penduduk kurang berkemampuan menerima wang zakat sebanyak RM200 setiap seorang yang disumbangkan oleh beberapa syarikat seperti Amanah Raya, Naluri dan Felda. Tokoh korporat dari Pahang yang turut menyumbang ialah Datuk Sharif Shamsudin.

No comments: