Monday, October 08, 2007

Kemelut PKR makin parah

Oleh Ahmad Ghazali Musa


PRIHATIN: Najib mengagihkan wang zakat kepada anak yatim, warga emas dan ibu tunggal di Kuantan, semalam.

Nallakaruppan tinggalkan Keadilan bukti parti bermasalah: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan masalah dalaman serius apabila bekas pemimpinnya, Datuk S Nallakaruppan yang meninggalkan parti itu Mei lalu, menubuhkan parti baru mewakili masyarakat India.

Timbalan Presiden Umno berkata, penubuhan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu membuktikan ahli tidak yakin dengan perjuangan PKR, meninggal parti itu dan menubuhkan parti baru.

"Mungkin ada masalah dalaman yang besar dalam PKR, sebab itu Datuk Nallakaruppan tidak bersama lagi dalam PKR dan mengambil keputusan tubuhkan parti sendiri. Saya akan komen selepas Nallakaruppan buat kenyataan rasminya nanti (berhubung penubuhan MIUP)," katanya selepas mengagihkan wang zakat kepada anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan rakyat miskin di Dewan Institut Kemahiran Mara (IKM) Tan Sri Yahya Ahmad di sini, semalam.

Lebih 2,300 orang menerima wang zakat RM200 setiap seorang yang disumbangkan beberapa syarikat dan orang perseorangan.

Antaranya ahli perniagaan, Datuk Sharif Shamsudin menyumbang RM50,000, Naluri Sdn Bhd (RM100,000), Felda Berhad (RM50,000) dan Amanah Raya Berhad (RM100,000).

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang juga Adun Bebar, Datuk Ishak Muhamad; dan barisan kepemimpinan Umno Bahagian Pekan.

Nallakaruppan, bekas Ketua Bahagian PKR Kepong yang meninggalkan parti 25 Mei lalu mengumumkan penubuhan MIUP pada sidang akhbar di rumahnya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur kelmarin. Acara itu turut dihadiri Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Antikorupsi (Gerak), Mohamad Ezam Mohd Nor.

Penubuhan parti itu bertujuan memperjuangkan peningkatan tahap kehidupan masyarakat India terutama belia dan penduduk kawasan pedalaman. MIUP yang didaftarkan 14 September lalu kini dikatakan mempunyai lebih 100 ahli.

Najib berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen pihak tertentu boleh menubuhkan parti politik dan terpulang kepada rakyat untuk menyokongnya.

"Kita tunggu kenyataannya mengenai pendirian parti itu, kemudian baru saya akan memberi komen," katanya.

No comments: