Monday, October 08, 2007

Siasatan klip video perlu menyeluruh

KEPALA BATAS 7 Okt. – Siasatan mengenai kesahihan klip video kononnya mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim mengenai pelantikan hakim-hakim perlu dilakukan secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, siasatan menyeluruh itu termasuk mencari orang yang merakamkan klip video tersebut.

Sehubungan itu, katanya, tidak wajar ada pihak menuduh kerajaan cuba mengalihkan siasatan apabila menumpukan perhatian kepada mencari siapa yang merakam video itu sedangkan ia adalah sebahagian daripada siasatan.

“Masih ada siasatan lanjut mengenainya dan kita tidak sepatutnya membuat andaian seperti itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa siasatan panel tersebut lebih tertumpu terhadap pihak yang bertanggungjawab mengedarkan klip video .

Berikutan itu, banyak pihak kini melihat ia sebagai cara untuk mengalihkan tumpuan berhubung isu integriti sistem penghakiman yang timbul daripada rakaman itu.

Beliau berkata, semua pihak perlu rasional kerana panel bebas tersebut perlu mengambil kira semua pendekatan yang boleh membantu melengkapkan siasatan.

“Kenapa pula ia (siasatan) dilihat sebagai cara mengalihkan isu? Anda perlu faham bahawa mereka (anggota panel) perlu mendapatkan lebih maklumat berhubung apa yang dikatakan di dalam klip video itu.

“Orang yang hantar klip video itu semestinya mempunyai maklumat yang membolehkan panel berkenaan meneruskan siasatan dan seterusnya membuat keputusan, jadi tidak bolehlah kata kerajaan sengaja hendak mengalihkan isu,” katanya.

No comments: