Monday, October 08, 2007

Pembangkang harap pilihan raya lambat

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan mereka lebih beruntung sekiranya pilihan raya umum tidak diadakan dalam masa terdekat kerana mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata Pas dan rakan pembangkang lain berharap pilihan raya umum tidak diadakan tahun ini supaya mempunyai masa untuk mempersiapkan jentera masing-masing.

"Tumpuan kita membawa bahan kempen dalam media internet ke kampung. Jika lebih lambat diadakan, ia akan lebih menguntungkan pembangkang," kata pada majlis berbuka puasa bersama media di Pejabat Pas Pusat, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Bendahari Pas, Dr Mohd Hatta Ramli.

Husam berkata, tugas pembangkang kini untuk menyalurkan maklumat ke luar bandar dalam usaha memecahkan benteng pengundi yang kini memperoleh maklumat daripada media arus perdana.

Beliau berkata, persiapan pembangkang kini makin memuncak tetapi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini menyebut pilihan raya tidak diadakan tahun ini, ia menjejaskan momentum persiapan.


Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkifli Ahmad, berkata Pas sedia bekerjasama dengan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) yang diumumkan penubuhannya kelmarin oleh bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kepong, Datuk S Nallakaruppan.

No comments: