Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
KEPALA BATAS 7 Okt. – Cadangan supaya 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) bergabung menjadi satu parti dianggap tidak praktikal kerana ia boleh melemahkan BN yang sudah menerajui tampuk pemerintahan negara sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tiada sebarang keperluan untuk mewujudkan gabungan seumpama itu pada masa ini memandangkan permuafakatan parti komponen dalam BN sekarang adalah baik dan ia perlu diteruskan.
Malah, jelas beliau, penggabungan tersebut boleh mewujudkan kelompok-kelompok kaum yang lebih besar sehingga membangkitkan semangat berpuak-puak yang akhirnya boleh memecahbelahkan perpaduan dalam BN.
“Tidak perlulah (bergabung), saya belum nampak kebaikan atau praktikalnya untuk bergabung pada masa ini. Kaedah dan muafakat yang digunakan dalam BN sekarang adalah lebih baik dan biarlah kita teruskan.
“Kalau kita nak buat (penggabungan), nanti ada pula yang berpuak-puak, contohnya puak Melayu, puak Cina dan puak India masing-masing hendak memenangkan calon mereka. Ini sebenarnya tidak baik untuk BN,” katanya.
Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kepala Batas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bertam, Datuk Hilmi Rashid.
Abdullah diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong kelmarin supaya 14 parti komponen BN bergabung sebagai satu parti bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia dapat dicapai sepenuhnya.
Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan, formula pengagihan kuasa yang diamalkan BN pada masa ini adalah lebih praktikal kerana ia terbukti berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini melalui pemuafakatan di kalangan parti-parti komponen.
Menurut beliau, walaupun pemimpin parti-parti komponen masing-masing membawa isu atau masalah kaum yang mereka wakili, tetapi setiap yang dibentangkan itu dibincangkan secara bersama tanpa meminggirkan hak kaum lain.
“Kaedah muafakat dalam BN sekarang sudah berhasil dan sebenarnya telah berjaya. Kalau tidak berjaya pastinya kerajaan BN menjadi lemah dan bergaduh sesama sendiri tetapi (perkara) ini tidak berlaku.
“Muafakat parti komponen dalam BN dan kerajaan adalah amat baik, malah dasar-dasar yang diputuskan merupakan hasil perbincangan bersama... inilah yang kita perlu teruskan,” tegas beliau.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu mungkin boleh dilaksanakan pada masa depan bergantung kepada keperluan-keperluan tertentu tetapi pada masa ini kerajaan tidak melihat ada sebab untuk melakukannya.
Terdahulu, pada majlis itu, Abdullah menyerahkan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada lebih 200 penduduk sekitar DUN Bertam termasuk golongan ibu tunggal dan anak yatim.
No comments:
Post a Comment