Monday, October 08, 2007

Dr Koh dapat sokongan padu ahli

KUALA LUMPUR: Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-36 di sini semalam meluluskan usul memberikan sokongan padu kepada Pemangku Presiden, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk terus memimpin parti itu bagi menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial semasa.

Deklarasi yang dibentangkan Speaker parti, Tan Sri Dr Chin Fook Weng juga merakamkan rasa terhutang budi dan penghargaan kepada bekas Presiden, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik atas kebijaksanaan dan sumbangan berterusan beliau kepada parti sebagai Penasihat.

Antara usul lain ialah;

  • Semangat, prinsip dan proses perundingan dan kerjasama antara kaum yang membawa kepada pencapaian kemerdekaan negara dan penubuhan Barisan Nasional (BN) hendaklah dipegang teguh dan terus diperkukuhkan.
  • Melindungi Perlembagaan Persekutuan dan mempertahankannya bersama oleh semua warga negara tanpa mengira kaum, serta memelihara dan meningkatkan undang-undang sivil dalam sistem perundangan.
  • Konsep Bangsa Malaysia ditekankan semula, dimajukan dan direalisasikan.
  • Setiap warga Malaysia dijamin haknya di bumi Malaysia dan dilayani secara adil dan saksama, dengan tiada satu golongan pun tercicir atau tertinggal dalam proses pembangunan dan kemajuan negara.
  • Pelaksanaan projek koridor pembangunan dan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) perlu dijalankan secara berkesan, telus dan adil untuk memastikan penyertaan semua komuniti dan lapisan sosial.
  • Usaha lebih gigih perlu dicurahkan untuk memerangi jenayah oleh polis, untuk meningkatkan kecekapan pasukan polis dan bagi menggalakkan penyertaan orang awam melalui polis simpanan sukarela, Rela, Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan inisiatif bandar selamat.

No comments: