Hubungan baik dalam komponen Barisan Nasional perlu terus dipupuk: Muhyiddin
SHAH ALAM: Cadangan Pemuda Gerakan kelmarin supaya 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) bergabung sebagai satu parti dianggap baik untuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata bagaimanapun perkara itu tidak boleh dipaksa dan proses itu perlu berlaku secara semula jadi yang mungkin dilalui dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Katanya, ketika ini, hubungan baik antara semua parti komponen perlu terus dipupuk sehingga sampai ke satu peringkat gabungan yang dicadangkan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong itu mungkin tercapai.
Beliau berkata, komponen parti dalam bentuk BN sudah memadai berdasarkan kepada jalinan hubungan dan kerjasama yang erat di antara pucuk pimpinan dan ahli parti gabungan.
Katanya, perkara itu lebih baik dibincangkan pada peringkat pucuk pimpinan parti terlebih dahulu kerana ia berkaitan politik.
"Satu yang saya pasti, kita sudah ada satu bentuk hubungan yang baik antara semua parti dan diterima pelbagai kaum dan ini terbukti apabila BN diterima rakyat," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pasar Tani Khas Aidilfitri di sini, semalam.
Ditanya perlukah perkara itu dibincangkan, Muhyiddin berkata, ia sebenarnya terserah kepada pucuk pimpinan parti kerana proses perpaduan kaum sebenarnya sudah wujud sejak mula negara mencapai kemerdekaan.
"Isu penggabungan semua parti menjadi satu parti politik pernah dikemukakan Datuk Onn Jaafar (pengasas Umno), suatu masa dulu yang menyarankan Umno membuka pintu kepada bangsa lain," katanya.
"Pandangan itu adalah kehadapan (ketika itu) hingga pemimpin Melayu tidak sedia menerimanya," katanya.
Mah, ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Wanita dan Pemuda Gerakan kelmarin, menyarankan supaya 14 parti komponen BN bergabung sebagai satu parti bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia tercapai sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment