Sunday, June 28, 2009

Syor 600,000 ahli diberi hak mengundi

Syor 600,000 ahli diberi hak mengundi

BENTONG 27 Jun - Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan UMNO mencadangkan jumlah mereka yang diberi hak mengundi bagi pemilihan peringkat Majlis Tertinggi (MT) diperluaskan sehingga 600,000 orang atau 25 peratus daripada keseluruhan ahli UMNO.

Angka tersebut adalah seperti mana yang dinyatakan dalam kertas cadangan jawatankuasa tersebut yang telah diedarkan kepada semua 191 UMNO bahagian di seluruh negara.

Ia diedarkan bertujuan bagi mendapat maklum balas ahli akar umbi untuk perkara itu diperhalusi semula sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya termasuk kepada MT.

Pengerusinya, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu telah diteliti oleh pihaknya yang dirasakan lebih sesuai berbanding jumlah sekarang yang hanya melibatkan kira-kira 2,500 orang atau 13 perwakilan bagi setiap bahagian.

Katanya, setelah mendapatkan maklum balas ahli, ia akan diperhalusi semula sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu Pindaan Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

''Ini terpulang kepada ahli sendiri, tetapi yang kita cadangkan ialah sehingga 600,000 orang. Selain itu, hak mengundi boleh juga diberi kepada jumlah lebih kecil iaitu 60,000 orang berdasarkan perwakilan yang mengundi di peringkat bahagian.

''Kita terbuka kepada sebarang respons. Jika cadangan ini diterima pakai, maka ia secara rasmi akan berkuat kuasa selepas perlembagaan dipinda pada 13 Oktober depan pada Mesyuarat Agung Khas,'' katanya kepada pemberita selepas perasmian Kursus Pencambahan Minda dan Jati Diri dekat Janda Baik di sini hari ini.

Kursus anjuran UMNO Bahagian Pandan selama tiga hari itu dirasmikan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Idea untuk meminda perlembagaan parti pernah dicadangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bagi mengatasi amalan politik wang melalui memperluaskan bilangan perwakilan yang berhak mengundi.

Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.

Sementara itu Ab. Rauf berkata, idea 25 peratus ahli UMNO yang membayar yuran memilih pucuk pimpinan tertinggi adalah untuk memberi hak kepada mereka selain membolehkan semangat memiliki UMNO menjadi lebih tinggi dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, lagi pun formula satu per empat itu diambil kerana ia menjadi syarat kuorum atau kehadiran ahli untuk membolehkan sesuatu Mesyuarat UMNO Bahagian dijalankan.

''Kita juga cadangkan supaya pemilihan di peringkat bahagian ditentukan oleh kesemua ahli yang membayar yuran di dalam bahagian tersebut. Jadi, seluruh ahli diberi hak, tak ada lagi dah wakil lima cawangan ke bahagian,'' jelasnya.

Ditanya bagaimana cadangan tentang pemilihan ini hendak dijalankan, Ab. Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO berkata, pemilihan MT dan bahagian akan dijalankan pada tahun yang berasingan.

''Dalam kertas cadangan itu, kita rancang pemilihan bahagian dibuat lebih awal daripada pemilihan MT.

''Pemilihan MT pula kita buat satu hari serentak di seluruh negara dengan tiada mesyuarat pada hari itu. Satu hari untuk hari undi saja macam pilihan raya umum.

''Semua yang berpeluang mengundi hanya perlu bawa kad pengenalan saja kerana ibu pejabat tahu siapa boleh mengundi,'' ujarnya.

Menurutnya, kertas cadangan itu sudah pun dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti.

Mengenai respons yang telah diterima setakat ini, Ab. Rauf berkata, beberapa maklum balas positif telah diterima setakat ini dan mana-mana ahli yang ingin memberikan pandangan mereka boleh diutarakan di laman web rasmi UMNO.

''Komen, cadangan dan pandangan boleh dikemukakan yang kita akan perhalusi untuk pindaan perlembagaan dapat diterima pakai oleh kesemua ahli UMNO.

''Mesyuarat bahagian yang akan mula Julai ini boleh bahaskan usul pindaan perlembagaan dan sebarang cadangan boleh dikemukakan semula kepada ibu pejabat untuk diperhalusi,'' katanya.

No comments: