Sunday, June 28, 2009

Pas, PKR politikkan isu royalti cetus kemarahan

Pas, PKR politikkan isu royalti cetus kemarahan

KUALA KRAI: Pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sengaja mempolitikkan isu royalti minyak di Kelantan untuk membangkitkan kemarahan rakyat kepada Kerajaan Pusat walaupun sedar pengeluaran bahan api itu di kawasan bertindih di antara Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata justeru, satu perjanjian dimeterai bagi membolehkan kerjasama pengeluaran petroleum di kawasan berkenaan dengan hasilnya dibahagikan antara Malaysia, Thailand dan Vietnam.

"Isu royalti itu tidak sepatutnya dibangkitkan Pas kerana minyak itu berada dalam kawasan pertindihan dan ia dibuat selaras peraturan antarabangsa yang memerlukan kerjasama antara negara terbabit bagi mengusahakannya serta berkongsi hasilnya.

"Pemimpin Pas dan PKR tahu perkara sebenar namun tetap mempolitikkannya supaya kelihatan seperti Kerajaan Pusat menganiaya Kelantan," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di sini semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, hanya tiga negeri menikmati royalti minyak di negara ini iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu, manakala Kelantan menerima peruntukan RM7 bilion daripada Kerajaan Pusat.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, menyifatkan tuduhan pemimpin Pas bahawa BN membayar pengundi berdaftar di kawasan DUN Manek Urai yang berada di luar kawasan itu supaya tidak pulang mengundi 14 Julai ini, sebagai fitnah semata-mata.

No comments: