Sunday, June 28, 2009

Calon BN DUN Manek Urai diumum hari ini

Calon BN DUN Manek Urai diumum hari ini

PAGOH 27 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan esok.

Beliau berkata, pengumuman itu diadakan pada sebelah petang.

"Esok saya akan ke Manek Urai dan calon BN akan saya umum antara pukul 4 atau 4.30 petang.

"Insya-Allah kita akan letak calon terbaik. Saya kira calon mampu memberi khidmat kepada penduduk di situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda Negara (Pewaris) 2009 di Kampung Jayor, dekat sini hari ini.

Muhyiddin menambah, semua jentera UMNO dan BN di Manek Urai telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN berkenaan dan tidak mustahil kerusi itu mampu dirampas semula oleh BN.

"Saya percaya kalau kita bekerja keras, kita dapat rampas balik Manek Urai," katanya.

Semalam Pas mengumumkan seorang pemborong ikan di pasar Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Mohd. Fauzi dipilih sebagai calon Pas berasaskan tradisi masyarakat setempat yang lebih selesa dengan pemimpin yang rapat dengan mereka walaupun beliau bukan di kalangan ulama atau profesional.

Pemilihan Mohd. Fauzi juga dianggap Pas mampu melonjakkan majoriti kemenangan parti itu walaupun akan berdepan saingan sengit daripada BN.

No comments: