Sunday, June 28, 2009

Permuafakatan BN dibincang

Permuafakatan BN dibincang

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my


MUHYIDDIN bergambar kenangan dengan peserta Pewaris 2009, di Muar, semalam.

Semua parti komponen perlu sepakat, pendirian mesti konsisten: TPM

MUAR: Permuafakatan parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus dibincangkan semula bagi memastikan semua yang terbabit sepakat dalam semua isu berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendirian parti terhadap perkara yang sudah dipersetujui dalam perlembagaan tidak boleh dilihat sentiasa berubah kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, ketika ini, banyak berlaku perbezaan pendapat antara parti komponen BN berhubung perkara dalam perlembagaan dan ia dikhuatiri dilihat sebagai pendirian BN tidak konsisten.

Katanya, perkara pokok yang termaktub dalam perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, hak kaum bukan Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan dan pengagihan kekayaan harus dipelihara dan dipertahankan.

"Selepas lebih 50 tahun konsep permuafakatan itu dilaksanakan dalam BN, kini wujud perbezaan pendapat di kalangan parti komponen. Perkara ini banyak disumbangkan oleh perkembangan politik semasa yang semakin berubah akibat wujudnya pemikiran baru serta timbulnya harapan generasi muda yang lahir selepas era merdeka.

"Pendirian terhadap perkara disepakati dalam perlembagaan tidak sewajarnya dikorbankan," katanya selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda (Pewaris) 2009, di sini, semalam.

Muhyiddin, berkata beliau sudah bertemu secara tidak formal dengan beberapa pemimpin parti komponen BN dan mereka bersetuju masalah yang timbul diselesaikan secara permuafakatan.

Sementara itu di MUAR, Muhyiddin berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak perlu meminta maaf daripada Umno ekoran kenyataannya yang menyamakan Umno dengan Ayah Pin dan komunis sebaliknya memohon ampun daripada Tuhan.

"Sebagai ulama dan tokoh agama yang disegani, Mursyidul Am Pas itu sepatutnya lebih mengetahui hukum membuat tuduhan yang boleh mencemarkan imej sesuatu pihak," katanya mengulas gesaan banyak pihak yang mahu Nik Aziz minta maaf kerana menyamakan Umno dengan Ayah Pin dan komunis.

Sementara itu, Muhyiddin yang akan mengumumkan calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, hari ini, berkata calon itu adalah yang terbaik dan mampu berkhidmat kepada rakyat.

Mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, yang yakin BN mampu merampas semula kerusi DUN itu, Muhyiddin berkata, sebagai orang lama, Ahli Parlimen Gua Musang itu tentunya lebih tahu keadaan sebenar di kawasan berkenaan.






Perkukuh muafakat dalam BN - TPM

PAGOH 27 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan lagi permuafakatan mereka dalam perkara-perkara asas mengenai Perlembagaan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini bagi menyatupadukan lagi parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendirian parti terhadap perkara-perkara yang telah disepakati dalam Perlembagaan tidak boleh dilihat berubah-ubah kerana ia akan menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat dan para pengundi.

Menurutnya, perkara-perkara pokok yang telah termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, hak kaum bukan Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan dan pengagihan kekayaan sewajarnya dipelihara dan terus dipertahankan.

"Dalam konteks BN saya percaya selepas beberapa puluh tahun konsep permuafakatan itu telah dilaksanakan, tetapi ada perubahan berlaku dalam pimpinan BN di samping perubahan dalam negara.

"Saya fikir ada keperluan untuk kita duduk bersama dan bertemu kembali supaya dapat mengambil pendirian yang lebih bersatu dan bersepakat dalam isu-isu yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda (Pewaris) 2009 yang menghimpunkan seramai 70 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program anak angkat di Kampung Jayor dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, keperluan untuk memperkukuhkan kembali permuafakatan itu dilihat amat perlu kerana kadangkala wujud nada yang berbeza daripada parti-parti komponen BN dan dikhuatiri juga pendirian parti turut tidak konsisten.

Katanya, biarpun perkara berkenaan banyak disumbang ekoran perkembangan politik semasa yang telah banyak berubah akibat pemikiran-pemikiran baru dan harapan daripada generasi muda yang lahir selepas era merdeka, pendirian terhadap perkara yang disepakatkan dalam Perlembagaan tidak sewajarnya dikorbankan.

"Prinsip pokok tidak boleh dikorbankan, apa salah kita pertahankan hak Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, kepentingan masyarakat bukan melayu pun termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau telah mula bertemu secara tidak formal dengan beberapa pemimpin parti komponen dan mereka bersetuju masalah yang timbul diselesaikan secara permuafakatan supaya BN dapat dilihat dalam konteks 1Malaysia yang lebih berkeyakinan.

"Perlu lebih awal kita bereskan hal-hal sebegini agar lebih yakin kita keluar dan duduk pada satu platform dan satu nada yang orang faham," katanya.

Katanya, dalam perkara berkenaan, BN sebenarnya memiliki banyak kelebihan berbanding pakatan pembangkang yang sering kali tidak sepakat termasuk dalam perkara mengenai perpaduan.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengingatkan generasi muda termasuk golongan mahasiswa supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan tuduhan pembangkang terhadap BN yang boleh membawa kepada perpecahan di dalam negara.

Sementara itu, ketika merasmikan Mesyuarat Bahagian MCA Bahagiah Pagoh di Tanjung Selabu, Jorak, Muhyiddin menegaskan, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu sekolah jenis kebangsaan dan sekolah persendirian di negara ini.

Beliau berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk membayar gaji guru-guru di sekolah jenis kebangsaan di negara ini.

"Peruntukan ini tidak termasuk bantuan infrastruktur yang kita berikan. Selain itu, kita juga beri RM600,000 daripada RM1.6 bilion untuk skim makanan tambahan kepada sekolah jenis kebangsaan ini.

"Siapa kata kita abaikan dan tidak bantu sekolah jenis kebangsaan dan sekolah persendirian ini. Malah ada sekolah mubaligh yang kita bantu 100 peratus apabila bersetuju dengan dasar pendidikan kita," tegasnya.

No comments: