Sunday, June 28, 2009

Pindaan perlembagan Umno sia-sia jika ahli rasuah

Pindaan perlembagan Umno sia-sia jika ahli rasuah

BENTONG: Cadangan meminda perlembagaan Umno yang bertujuan mewujudkan sistem pemilihan lebih telus dan terbuka tidak akan memberi makna jika ahli Umno masih mengamalkan rasuah ketika pemilihan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyambut baik cadangan itu, beliau berkata, perubahan positif yang diharapkan berlaku dalam pemilihan parti bergantung kepada sikap ahli Umno.

“Ia cadangan yang baik tetapi pasti akan ada orang yang cuba beli (undi) juga. Maka, akhirnya, sikap ahli Umno lebih penting. Ini adalah kali ketiga perlembagaan Umno akan dipinda untuk mengelak rasuah ketika pemilihan.

“Sekiranya ahli Umno masih bersikap mengutamakan wang berbanding kepentingan parti, bangsa, agama dan negara, apa pindaan pun tidak akan mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada 300 ahli Umno Bahagian Pandan yang mengikuti Kursus Percambahan Minda dan Jatidiri di Janda Baik, semalam.



Ubah sikap hapus rasuah

Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my

MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan peserta Kursus Percambahan Minda dan Jati Diri dekat Bentong, semalam.


BENTONG 27 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, usaha menghapuskan rasuah politik hanya akan berjaya sekiranya setiap pemimpin dan ahli UMNO mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menolak amalan tersebut.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, walaupun cadangan terbaru pindaan perlembagaan parti bagi memperluaskan bilangan mereka yang mengundi itu baik namun ruang untuk dimanipulasi masih wujud.

''Cadangan itu baik tetapi akhirnya sikap ahli-ahli UMNO itu sendiri yang lebih penting. Dengan yang ini sudah tiga kali kita buat pindaan perlembagaan untuk elakkan rasuah.

''Namun kalau ahli UMNO terus utamakan RM200, RM300 lebih daripada parti agama, bangsa dan negara, apa pindaan pun tak akan berhasil. Tapi kalau mereka lebih utamakan parti, bangsa dan agama, RM60,000 pun tak boleh jual,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Percambahan Minda dan Jati Diri anjuran UMNO Bahagian Pandan di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) dekat sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mohd. Iszeham A. Hamid.

Sementara itu pada sidang akhbar, Mahathir berkata, beliau percaya walaupun bilangan yang akan memilih kelak mencecah seramai 600,000 orang sekalipun, usaha untuk membeli undi tetap akan berlaku.

''Kita boleh anggap dengan 600,000 mengundi ia cukup untuk hentikan rasuah tetapi akhirnya bagi saya sikap itu juga yang penting,'' tegasnya.

Sementara itu, Mahathir memaklumkan program yang dihadirinya hari ini merupakan jemputan rasmi yang pertama daripada mana-mana UMNO bahagian sejak beliau melepaskan jawatan kerajaan dan parti lebih enam tahun lalu.

Katanya, sekiranya ada jemputan seumpama itu pada masa depan, beliau bersedia hadir kerana merasa amat gembira dapat bertemu secara terus dengan ahli parti.

''Lagi pun saya lebih senang untuk bercakap dengan ahli-ahli dan penyokong UMNO daripada bercakap dengan orang atasan kerana akhirnya orang ini yang akan menentukan parti menang atau kalah,'' jelasnya.

Ditanya sama ada beliau akan berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (DUN) Manek Urai, Mahathir berkata, beliau lebih suka untuk menumpukan usaha memulihkan kredibiliti UMNO seperti mana yang dilakukannya hari ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, ahli dan pemimpin UMNO di peringkat bawah perlu menegur pemimpin atasan sekiranya wujud sebarang kelemahan bagi mengelak hakisan sokongan rakyat.

Katanya, itu sudah menjadi tugas mereka yang di bawah kerana rakyat tidak boleh diseru memberi sokongan secara membuta tuli tanpa mengira apa yang parti lakukan sama ada ia baik atau tidak.

''Rakyat akan kecewa jika kepimpinan yang lemah terus disokong dan ini akan menyebabkan berlakunya hakisan sokongan seperti mana pilihan raya yang lalu.

''UMNO dan parti dalam Barisan Nasional (BN) perlu sokongan mereka yang di luar parti untuk menang. Kita sudah merdeka 50 tahun, semua rakyat terpelajar,'' katanya.

Mengulas mengenai keuntungan Petronas, Mahathir berkata, ia berjaya dicapai kerana kecekapan pengurusannya hingga membolehkan syarikat itu bukan sahaja bergerak dalam negara tetapi peringkat antarabangsa.

''Semasa saya dulu saya tak campur tangan tetapi mereka perlulah buat laporan dan kadang-kadang kita ada bagi cadangan.

''Mereka ini profesional dan betul-betul minat, kita bernasib baik kerana mereka cekap dan oleh itu kita harus jangan campur tangan dalam perkara ini,'' katanya.

No comments: