Sunday, June 28, 2009

Tidak mustahil BN menang di Manek Urai

Tidak mustahil BN menang di Manek Urai

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Kita ada strategi sampai mesej kepada pengundi: Najib

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, pada pilihan raya kecil 14 Julai ini walaupun berdepan laluan sukar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, BN ada strategi tersendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak perlu terikut-ikut dengan rentak kempen Pas.

Beliau berkata, BN akan mengumumkan calonnya hari ini seperti mana diputuskan, walaupun Pas sudah memilih Bendahari Pas Kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, yang juga seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai, sebagai calonnya di Manek Urai.

"Kita ada cara kita sendiri untuk sampaikan mesej kepada pengundi dan akan letak wakil rakyat yang boleh berkhidmat kepada rakyat.

"Kita tahu Pas menang dengan majoriti besar (1,352 undi pada pilihan raya umum lalu) dan memang sukar bagi kita dalam pilihan raya kecil ini tetapi tidak mustahil untuk menang.

"Dan kita (akan) menunjukkan keikhlasan kita untuk membela masa depan mereka (pengundi) dan meletak seorang bakal wakil rakyat yang boleh memberi khidmat bakti kepada masyarakat di sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John di sini, semalam.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan 6 Julai.

Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, kerana komplikasi jantung, pada 22 Mei lalu.







Perlu kerja kuat di Manek Urai

KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui Barisan Nasional (BN) bakal menghadapi laluan sukar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan rekod terdahulu majoriti antara calon Pas dan BN adalah besar dan itu menunjukkan BN terpaksa bekerja keras untuk memenangi hati pengundi.

Bagaimanapun, beliau percaya harapan BN untuk memenangi kerusi tetap ada tetapi ia memerlukan kesungguhan dan komitmen daripada semua jentera untuk menyampaikan mesej parti kepada rakyat.

''Kita tahu Pas menang dengan majoriti yang agak besar pada pilihan raya lalu dan memang ini satu tentangan yang sukar bagi kita tetapi masih ada harapan.

''Bukan bererti tidak ada harapan, masih ada harapan tetapi kita akan menghadapi tentangan yang agak sukar,'' katanya selepas merasmikan Seminar Sekolah Mubaligh di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John di sini hari ini.

Beliau mengulas kedudukan terkini BN dalam menghadapi pilihan raya DUN Manek Urai yang dijadual diadakan pada 14 Julai ini.

DUN tersebut merupakan kubu kuat Pas dan parti itu tidak pernah tewas sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini kecuali pada 2004.

Bagaimanapun pada 2008, kerusi itu kembali kepada Pas, apabila Ismail Yaacob bertanding semula dan menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Pada 22 Mei lalu, Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kerana pelbagai komplikasi jantung.

Ketika ditanya kempen agresif pihak Pas, Najib berkata, BN tidak akan mengikut cara seperti itu sebaliknya akan menggunakan pendekatan tersendiri untuk berkempen.

''Apa yang penting sekali kita dapat menyampaikan mesej kepada pengundi kita bahawa BN ikhlas untuk membela masa depan mereka," katanya.

''Kita juga akan meletakkan bakal wakil rakyat yang boleh memberi khidmat bakti kepada orang ramai di Manek Urai,'' tambahnya.

Sementara itu Pas malam tadi telah mengumumkan seorang pemborong ikan di pasar Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah dipilih sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil DUN tersebut.

No comments: