Sunday, June 28, 2009

Datuk Azhar Ibrahim ( Ketua Pembangkang Pulau Pinang ) : 'Saya tidak akan minta maaf'

'Saya tidak akan minta maaf'

KEPALA BATAS 27 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya mengenai kegiatan pihak tertentu merekrut warga emas menjadi ahli DAP melalui pengisian borang pemberian sagu hati.

Menurutnya, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk membangkitkan isu tersebut ekoran aduan yang diterimanya daripada golongan warga emas di Seberang Perai Utara (SPU) termasuk dari kawasan dewan undangan negerinya sendiri di Penaga.

Katanya, tidak timbul soal beliau cuba memfitnah kerajaan negeri sebaliknya Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sepatutnya menjelaskan dakwaan warga emas terbabit.

''Daripada Ketua Menteri menunggu penjelasan daripada saya, lebih baik dia menyiasat ejen-ejennya yang bertanggungjawab menarik ahli di kawasan ini.

''Saya tidak akan menuduh jika tidak mempunyai bukti kukuh mengenai kelakuan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Gerak Gempur Dadah SPU di sini hari ini.

Laporan akhbar Khamis lalu memetik kenyataan Azhar yang mahu kerajaan negeri menjelaskan dakwaan terdapat warga emas di negeri ini yang diminta mengisi borang pemberian sagu hati tetapi disyaratkan menjadi ahli parti politik tertentu.

Menurut Azhar, ada warga emas yang membuat aduan bahawa mereka diminta mengisi borang khas kononnya untuk mendapatkan sagu hati daripada kerajaan negeri tetapi mereka perlu menjadi ahli DAP terlebih dahulu.

Guan Eng dalam reaksinya bagaimanapun menafikan dakwaan itu sambil meminta Azhar meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang disifatkan satu fitnah terhadap kerajaan negeri.

Azhar berkata, Guan Eng yang sepatutnya meminta maaf kepada rakyat negeri ini kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mengumumkan negeri ini sudah bebas daripada masalah miskin tegar.

''Di Penaga saja, tidak kurang 15 keluarga masih berada di tahap miskin tegar dan tanpa menyelidik secara terperinci, beliau telah mengisytiharkan negeri ini bebas miskin tegar.

''Saya tidak patut meminta maaf di atas kenyataan yang sahih sebaliknya Guan Eng yang patut minta maaf di atas kenyataan tidak benar, dia umumkan tanpa turun padang dan melihat keadaan rakyat di kawasan kampung," katanya.

No comments: