Sunday, June 28, 2009

Khalid nafi kosong kerusi beri laluan Zaid ke Parlimen

Khalid nafi kosong kerusi beri laluan Zaid ke Parlimen

SHAH ALAM 27 Jun - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu merupakan satu spekulasi kerana tiada sebarang perbincangan yang dibuat mengenai perkara tersebut di peringkat pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh pimpinan PKR, ia merupakan keputusan bersama bagi memantapkan parti pembangkang itu.

"Perkara ini merupakan satu isu yang besar dan ia mesti dibincangkan di peringkat kepimpinan PKR tetapi perkara ini tidak ada pun dibincangkan.

"Namun saya fikir ketika ini bukan masa yang sesuai untuk mengosongkan kerusi dan mengadakan pilihan raya. Kita dapati rakyat tidak begitu selesa sekiranya terlalu banyak pilihan raya," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Negeri Selangor 2009 di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus yang mendakwa beliau akan mengosongkan kerusinya sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Zaid untuk mewakili PKR di Dewan Rakyat.

Dakwaan yang disiarkan dalam portal berita tempatan itu mula tercetus berikutan penyertaan Zaid ke dalam PKR baru-baru ini. Malah, kekosongan itu dikatakan akan dilakukan selepas selesai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor turut memberitahu, pihaknya telah menyediakan pegawai sokongan daripada Majlis Agama Islam Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu mengemaskini kedudukan akaun kewangan masjid di seluruh negeri itu.

Katanya, usaha itu dibuat bagi membolehkan pengurusan kewangan masjid dapat dilaksanakan sebaik mungkin terutamanya melibatkan wang sumbangan daripada orang ramai.

"Kita buat kemaskini akaun bukan kerana ada penyelewengan tetapi kita nak disiplinkan dan melatih pihak pengurusan masjid dalam soal rekod aliran kewangan.

"Ini kerana, masjid merupakan satu institusi yang dipercayai oleh umat Islam, jadi ia perlu mempunyai satu pengurusan yang baik," katanya.

No comments: