Tetap pertahan kecaman terhadap UMNO
KUALA KRAI 27 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus mempertahankan kecamannya terhadap UMNO yang disifatkannya sebagai komunis dan sesat sebelum ini kerana didakwa menolak Islam.
Namun, katanya, ia tidak bermaksud UMNO seperti komunis yang sebenar dan percaya ia bandingan yang paling sesuai digunakan untuk menggambarkan sebahagian sikap dan pendirian UMNO.
''Contoh bila kita kata seseorang itu seperti 'kijang masuk kampung'. Apakah Mamat kena ada ekor ke, kena ada tanduk atau kaki empat baru serupa kijang? Ada satu pun (sikap) sudah cukup....'lolar' (tak tentu hala)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Manek Urai di padang awam Manek Urai Lama di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Katanya, beliau menyedari banyak pihak yang membidasnya dalam laporan media berhubung ceramahnya di Laloh dekat sini beberapa hari lalu termasuk Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang membuat laporan polis.
Beliau berkata, UMNO tidak sebagaimana komunis yang secara terang-terangan menolak agama dan juga kewujudan Tuhan serta nabi.
''UMNO kata ada... tetapi tak jadi kerja (tak laksanakan suruhan), jadi marah pula kat orang. Nak undi lagi parti macam tu.
''UMNO sebagai orang Islam, dia sembahyang, dalam sembahyang wajib baca fatihah yang kandungannya meminta Tuhan memimpin jalan yang betul seperti jalan nabi-nabi.
''UMNO menolak Islam dan mengambil kebangsaan (dasar perjuangan). UMNO tak ikut jalan nabi. Cuba ajar nak kata bagaimana (terhadap UMNO) yang tolak Islam, tolak Tuhan," ujarnya.
Atas alasan itu juga Nik Abdul Aziz menyalahkan UMNO yang dianggap menjadi punca persengketaan yang menjejaskan perpaduan umat Islam di negara ini.
Katanya, persengketaan yang wujud di kalangan umat Islam di negara ini bukannya dicetuskan oleh Pas sebaliknya UMNO yang harus bertanggungjawab.
''Kita perjuangkan Islam tetapi UMNO yang menentang kita sehingga keadaan menjadi kucar lanar (kucar-kacir)," katanya.
Nik Abdul Aziz menganggap apa yang dilalui oleh Pas sebagaimana yang ditempoh oleh Rasullullah dalam menegakkan perjuangan Islam apabila baginda dimusuhi oleh anggota keluarga dan kaum sendiri.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment