Friday, May 15, 2009

Tidak berbangkit isu 'kerajaan perpaduan'

Tidak berbangkit isu 'kerajaan perpaduan'

PUTRAJAYA 14 Mei - Soal Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pembentukan kerajaan perpaduan dengan UMNO tidak timbul kerana UMNO sehingga hari ini belum membuat sebarang cadangan berhubung perkara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, justeru tiada isu berkaitan 'kerajaan perpaduan' seperti dibangkitkan oleh Menteri Besar Kelantan itu.

''Buat apa (Nik Abdul Aziz) nak tolak, apa sebab nak tolak kerana kita belum ada cadangan untuk bentuk kerajaan campuran," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz menegaskan pendirian untuk menolak pembentukan kerajaan campuran antara Pas dengan UMNO kerana tidak percaya UMNO benar-benar ikhlas untuk bekerjasama dengan partinya.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan diketengahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Mac lalu.

No comments: