Friday, May 15, 2009

Dr M syor usul undi tidak percaya terhadap PR

Dr M syor usul undi tidak percaya terhadap PR


CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak supaya segera mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

Katanya, isu berkenaan perlu diselesaikan segera kerana ia boleh mencemarkan imej negara.

"Tidak baik untuk dunia melihat kita bertukar Menteri Besar setiap hari disebabkan keputusan mahkamah. Satu keputusan mengatakan seseorang bukan lagi Menteri Besar, keesokannya jadi Menteri Besar pula... kemudian ada pula keputusan lain.

"Kerusi muzikal (permainan berebut kerusi menggunakan muzik) ini bukanlah sesuatu yang baik," katanya pada sidang media selepas menyampaikan syarahan bertajuk Malaysia: Pengetahuan Ekonomi Hari Ini pada Program Sesi Lawatan Asia Pacific Outsourcing Services (APOS) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa BN tidak gentar berdepan dengan rakyat berhubung krisis politik di Perak jika pilihan raya diadakan di negeri itu walaupun ia sesuatu tidak harus berlaku.

Najib berkata, penentuan pilihan raya adalah dalam bidang kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan ia adalah satu daripada pilihan mengikut Perlembagaan.

Dr Mahathir berkata, beliau menyokong tindakan Perdana Menteri mengadakan rundingan dengan PR untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Apa saja tindakan yang boleh menyelesaikan perkara itu (isu politik Perak) adalah baik," katanya yang tidak menolak kemungkinan perkara itu terjadi disebabkan kuasa wang.

Katanya, tindakan boleh dilakukan adalah untuk DUN Perak bersidang dan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan kerajaan negeri PR jika benar BN mempunyai majoriti.

"Mereka boleh serapkan kerajaan negeri yang lain selepas itu," katanya yang berpendapat kemenangan akan memihak kepada PR jika pilihan raya kecil diadakan.

Ditanya mengapa beliau berpandangan demikian, Dr Mahathir berkata:

"Itu perasaan saya. Saya tidak melakukan sebarang tinjauan dan tidak ada panggilan telefon... cuma perasaan saja dan bercakap dengan orang ramai selepas beberapa pilihan raya kecil sebelum ini termasuk kekalahan (BN) di Bukit Gantang," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap kelancaran pembangunan Cyberjaya yang dimulakan sejak 12 tahun lalu.

Sebagai pencetus idea kewujudan Cyberjaya, beliau berkata, perancangan menjadikan Cyberjaya sebagai sebuah kawasan komuniti intelektual terdiri daripada penduduk tempatan dan luar negara gagal dicapai.

Katanya, perancangan awal Cyberjaya ialah kerajaan ketika itu mahu ramai warga asing tinggal di situ dalam persekitaran istimewa termasuk kewujudan kelab untuk berehat dan berinteraksi sesama mereka.

"Sebaliknya, apa yang saya dapati ialah orang ramai lebih cenderung untuk tinggal di luar (Cyberjaya) dan datang bekerja di sini... sebab itu kita dapat lihat banyak kereta di sini kerana mereka tinggal jauh dan terpaksa memandu ke sini.

"Saya lebih suka jika mereka tinggal di sini, berjumpa di kelab untuk berehat dan berinteraksi serta boleh berjalan kaki ke pejabat masing-masing. Itu yang dirancangkan tetapi ia tidak berlaku," katanya.

No comments: