Friday, May 15, 2009

Shafie umum 'kabinet' UMNO Kedah

Shafie umum 'kabinet' UMNO Kedah


Oleh ZAINUL AZHAR ASH'ARI dan SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Mahdzir Khalid menyerahkan fail serah tugas kepada Shafie Apdal sambil diperhatikan oleh para pemimpin UMNO Kedah di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 14 Mei - Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Mukhriz Mahathir adalah dua di antara tiga muka baru yang dilantik menganggotai jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, hari ini.

Jamil yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai Ketua Penerangan manakala Mukhriz, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Jerlun dipilih memegang jawatan Bendahari.

Seorang lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir. Nawawi Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi dipilih sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Beliau menggantikan Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah yang kini menjadi Timbalan Pengerusi badan berkenaan.

Sementara Jamil menggantikan bekas ADUN Merbau Pulas, Datuk Mohd. Hadzir Ismail dan Mukhriz pula mengambil alih jawatan daripada Datuk Badruddin Amiruldin.

Pelantikan ketiga-tiga tokoh berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat badan berkenaan di Bangunan Tunku, di sini, hari ini.

Shafie juga menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit.

Mesyuarat badan tersebut juga merupakan yang pertama dipengerusikan oleh Shafie selepas beliau dilantik memimpin UMNO Negeri Kedah. Sebelum itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah menyerahkan tugas secara rasmi kepada Mohd. Shafie dalam majlis yang sama.

Mengulas mengenai pelantikan ketiga-tiga tokoh tersebut, Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia tidak bermakna bahawa pemimpin lain di Kedah tidak layak sebaliknya sebagai usaha memperluaskan keupayaan di dalam UMNO.

Menurut beliau, ini kerana pemimpin UMNO mempunyai keupayaan masing-masing dalam pelbagai bidang.

''Contohnya Kedah, antara lain mencakupi isu agama, apatah lagi di bawah pemerintahan Pas. Jadi kita (UMNO) perlukan jentera bersesuaian dalam bidang agama.

''Jadi, pemilihan Jamil bolehlah membantu dalam isu ini, begitu juga dengan pelantikan lain," kata beliau.

No comments: