Friday, May 15, 2009

PPP boleh dibatalkan

PPP boleh dibatalkan

KUALA LUMPUR 14 Mei – Krisis yang melanda Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin kusut, berselirat dan berisiko dibatalkan.

Ini kerana Presidennya, Datuk M. Kayveas langsung tidak menghantar senarai ahli jawatankuasa (AJK) PPP dan laporan kewangan parti kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak tahun 2002.

Difahamkan, PPP hanya menunggu masa sahaja untuk dibatalkan pendaftarannya oleh ROS kerana kesalahan tersebut.

Berdasarkan laporan senarai terakhir AJK parti itu, pengundian pemecatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah daripada PPP adalah tidak sah mengikut peraturan ROS dan perlembagaan parti tersebut.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti, Dr. N. Shanmuganathan berkata, AMT yang memilih untuk memecat Murugiah tidak sah kerana daripada 42 ahli yang mengundi, hanya tujuh sahaja yang namanya tercatat sebagai AJK parti itu dalam laporan 2002.

Ini bermakna, katanya, baki 35 lagi AMT itu tidak mempunyai kelayakan untuk mengundi walaupun telah dipilih menganggotai AJK itu, akibat kegagalan Kayveas menghantar senarai dan laporan kewangan terkini kepada ROS.

“Artikel 9.16 perlembagaan parti juga jelas menyebut bahawa kourum untuk sesuatu mesyuarat AMT yang dipanggil perlulah dihadiri oleh sekurang-kurangnya separuh atau 20 AMT tetapi dalam mesyuarat pada hari pengundian memecat Murugiah, hanya tujuh AMT yang sah di sisi ROS sahaja menghadirinya.

“Mengenai isu ROS, saya mempunyai bukti kukuh bahawa Kayveas tidak mengemas kini senarai AJK dan laporan kewangan kepada ROS sejak tahun 2002 lagi,” katanya yang baru dilucutkan jawatan AMT oleh Kayveas pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

No comments: