Kemelut Perak: BN sedia hadapi pilihan raya
PUTRAJAYA 14 Mei – Barisan Nasional (BN) sedia berdepan dengan rakyat sekiranya Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diadakan semula bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata, pilihan raya DUN itu hanya satu pilihan ke arah menangani krisis tersebut tetapi bukanlah sesuatu yang harus.
Kata beliau, keputusan muktamad sama ada perlu diadakan pilihan raya negeri bergantung kepada budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
‘‘Ia bukan sesuatu yang harus berlaku tapi bergantung kepada Sultan untuk mempertimbangkannya,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Najib mengulas cadangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan semalam supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan rakyat negeri itu memutuskan parti mana yang sepatutnya mentadbir negeri tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menolak dakwaan bahawa kemelut politik di Perak menyamai krisis politik di Thailand yang sehingga kini tiada kesudahan dengan pertelingkahan dan tunjuk perasaan.
Sementara itu ditanya mengenai kedudukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah setelah disingkirkan dari Parti Progresif Penduduk (PPP), Najib berkata:
‘‘Saya belum tentukan lagi, kita tengok dulu perkembangannya.”
Kepada satu soalan, Najib mengesahkan satu Konvensyen BN akan diadakan dalam waktu terdekat dan pengisian program itu sedang disediakan.
Terpulang Sultan
Oleh Johari Ibrahim dan Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my
BN tak gentar hadapi pilihan raya negeri di Perak: PM
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak gentar menghadapi pilihan raya negeri di Perak bagi menyelesaikan krisis politik negeri itu walaupun ia adalah sesuatu yang tidak harus berlaku.
Dalam perkembangan yang sama, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan kesediaan Pakatan Rakyat untuk menemui Perdana Menteri bagi menyelesaikan kemelut politik Perak.
Najib berkata, BN tidak bimbang untuk berdepan dengan rakyat kerana ia sudah biasa dilakukan setiap kali pilihan raya diadakan sebelum ini tetapi semua pihak perlu sedar bahawa penentuan pilihan raya di Perak adalah dalam bidang kuasa Sultan Azlan Shah.
"Tidak, BN tidak gentar kerana kita sentiasa tahu bahawa kita perlu berdepan dengan rakyat dan kita memang berdepan dengan rakyat apabila tiba masanya.
"Ia (pilihan raya) adalah satu daripada pilihan di bawah Perlembagaan dan terpulang kepada Sultan. Jadi ia bukanlah sesuatu yang seharusnya berlaku, tetapi bergantung kepada Sultan untuk pertimbangkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Mengenai kemungkinan BN mengadakan kerjasama dengan pembangkang bagi menyelesaikan isu berkenaan, Najib berkata, perkara itu bergantung kepada tiga perkara yang pernah dinyatakannya sebelum ini.
"Pertama, perlu ada perasaan hormat menghormati antara kedua-dua pihak, keduanya kita perlu mematuhi peraturan di dalam dan luar dewan (Dewan Undangan Negeri) dan tidak perlu ada prasyarat, sebaliknya terbuka untuk meneroka segala kemungkinan," katanya.
Sementara itu, Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur, berkata krisis politik Perak perlu diselesaikan segera dan meminta Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya.
"Kami sanggup berbincang dan mendengar pandangan Perdana Menteri berhubung krisis politik Perak," katanya sambil menjelaskan pertemuan itu bagaimanapun bukan untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Turut hadir ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Abdul Hadi pula berkata, Pas tetap dengan pendirian mahu DUN Perak dibubarkan segera bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka.
"Jika krisis ini dibiarkan berterusan ia akan memusnahkan lagi demokrasi di negara ini," katanya.
Kit Siang berkata, krisis Perak bukan sesuatu yang bersifat kenegerian semata-mata, tetapi ia adalah krisis yang menggambarkan perlembagaan dan institusi negara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment