Friday, May 15, 2009

Nasharuddin Mat Isa terima 60% pencalonan

Nasharuddin Mat Isa terima 60% pencalonan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 14 Mei - Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa mempunyai peluang yang amat cerah untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu bulan depan apabila mendapat pencalonan hampir 60 peratus.

Sementara itu, calon saingannya Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu masing-masing menerima 20 peratus pencalonan dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (kurang 5 peratus).

Menurut sumber, hasil pencalonan yang diperoleh Nasharuddin jelas menunjukkan sebahagian besar perwakilan mahu Pas diterajui oleh kepimpinan ulama.


‘‘Seperti mana yang dijangka kebanyakan kawasan yang membuat pencalonan tidak akan terkeluar daripada tradisi kepimpinan yang diamalkan Pas sejak 1982 iaitu kepimpinan berasaskan ulama.

‘‘Berdasarkan keputusan yang dibuat ketika muktamar pada tahun tersebut, Pas telah membuat ketetapan bahawa jawatan nombor satu dan nombor dua parti adalah di kalangan ulama,’’ kata sumber itu di sini hari ini.

Semalam dalam satu sidang akhbar di Kuala Terengganu, Pengerusi Jawatakuasa Pemilihan, Datuk Mustafa Ali mengumumkan kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden parti selepas memperoleh 129 pencalonan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula tidak layak bertanding bagi jawatan itu pada muktamar tahunan Jun ini apabila gagal mendapat dua pencalonan.

Bagaimanapun bagi jawatan tertinggi seperti Timbalan Presiden, Naib pPresiden serta Ahli Jawatankuasa Pusat, Mustafa tidak memberi maklumat secara terperinci dan hanya sekadar memberitahu berlaku saingan sengit pada semua jawatan tersebut.

Dalam pada itu sumber itu berkata, kegagalan Husam menguasai pencalonan bagi jawatan timbalan presiden merupakan petanda awal yang kebanyakan perwakilan menolak kepimpinannya.

Sumber itu berkata, perwakilan telah memberi mesej awal yang mereka tidak mahu Pas diterajui oleh kumpulan lain selain daripada ulama.

‘‘Dengan kata lain mereka tidak mahu puak Erdogan iaitu sekumpulan pemimpin Pas yang mempunyai hubungan rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui parti.

‘‘Tidak dinafikan Husam kelihatan bersungguh-sungguh untuk merebut jawatan Timbalan Presiden tetapi malangnya hanya sebahagian kecil kawasan sahaja yang mencalonkan beliau,’’ kata sumber itu lagi.

Dalam pada itu sumber tersebut berkata, jumlah pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden itu diperolehi daripada kira-kira 130 kawasan yang berjaya menghantar pencalonan mengikut masa ditetapkan.

No comments: