Friday, May 15, 2009

28 Adun BN, tiga Bebas lapor polis

28 Adun BN, tiga Bebas lapor polis
Oleh Nurhayati Ablah dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my

IPOH: Semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Perak dan tiga Adun bebas beramai-ramai menaiki bas milik Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membuat laporan polis terhadap bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar.

Dalam laporan itu, mereka mendakwa Sivakumar menghina Mahkamah Persekutuan dengan tidak menghormati perintahnya, apabila mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exconya dan tiga Adun Bebas keluar DUN ketika persidangan 7 Mei lalu.

Exco Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, ICT, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman selaku jurucakap kumpulan itu berkata, semua Adun BN dan tiga Adun Bebas bersepakat membuat laporan polis kerana berpendapat tindakan bekas Speaker itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Kita akan bawa kes itu ke mahkamah kerana ia adalah sesuatu yang serius. Kita akan failkan kes berkenaan secepat mungkin dan peguam kami sedang membuat persiapan bagi tujuan itu," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini, semalam.

Semua Adun yang memakai pakaian hitam iaitu baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung bagi perempuan hadir ke balai polis itu kira-kira jam 2.30 petang semalam, sebaik selesai menghadiri upacara pemakaman kekanda Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharom Sultan Izzuddin Shah di Tanah Perkuburan Islam Segedup, Batu Gajah dekat sini, pagi semalam.

Ini adalah laporan polis kedua terhadap Sivakumar, selepas Hamidah membuat laporan serupa di balai polis sama, malam kelmarin.

Hamidah juga membuat laporan polis berhubung tuduhan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat, Fauzi Muda, kononnya beliau bekerjasama dengan polis bagi melindungi sekumpulan samseng yang membelasah dua beradik lelaki bagi menuntut hutang di sebuah restoran di Pekan Razaki di sini.

Hamidah berkata, kehadirannya di balai polis pada malam 7 Mei lalu adalah dengan niat mententeramkan isteri tertuduh dan tidak terbabit sama sekali dalam usaha membebaskan kumpulan samseng.

“Mereka mendakwa saya campur tangan dalam urusan itu dengan kenyataan kononnya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bertugas suspek dilepaskan atas campur tangan saya.

"Justeru, saya menganggap laporan polis yang dibuat Fauzi pada 10 Mei lalu dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 10.45 pagi kelmarin adalah agenda untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai wakil rakyat," katanya.

Beliau yang juga Adun Sungai Rapat akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Fauzi atas dakwaan cuba memburukkan namanya dengan menyebarkan fitnah.

No comments: