Friday, May 15, 2009

Buktikan jika betul - Ahmad

Buktikan jika betul - Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mei - "Perkara ini amat serius, kena buktikan kalau memang wujud. Jika tidak ia akan menjadi fitnah kepada parti."

Itu reaksi Ahli Majlis Syura Pas, Ahmad Awang ketika diminta mengulas gejala politik hadiah yang dikatakan berleluasa dan semakin ketara dalam parti tersebut menjelang pemilihan Jun ini.

Tegas beliau, perkara negatif sebegitu langsung tidak berlaku dalam Pas dan ia tidak boleh disamakan dengan apa yang menyerang UMNO.

"Sepanjang menyertai Pas, saya langsung tidak pernah mengetahui atau mendengarnya dan ia memang tidak berlaku. Walau tersembunyi sekali pun setiap perkara jahat akan terdedah juga. Tetapi masalahnya saya tidak pernah dengar.

"Saya bukannya hanya duduk di atas tetapi turut bersama dengan ahli termasuk merasmikan mesyuarat-mesyuarat cawangan dan kawasan dan ia memang tidak berlaku. Apabila Datuk Mohamed Daud Iraqi (Ketua Dewan Ulama Pas) yang dedah, pergilah tanya dan minta bukti daripada beliau," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perak diminta mengulas kenyataan Mohamed yang mendedahkan bahawa perebutan kuasa dalam Pas semakin ketara sehingga ada individu sanggup memberikan 'hadiah' kepada perwakilan untuk mendapatkan sokongan.

Mohamed memberitahu, terdapat sesetengah calon yang telah membuat jamuan dan memberi baju kepada perwakilan untuk melobi supaya memenangi jawatan yang bakal ditandingi.

Katanya, situasi tidak sihat itu mula menular di kalangan pemimpin Pas yang inginkan kuasa, justeru, beliau meminta para perwakilan pada Muktamar Agung Pas nanti menolak pemimpin yang mengamalkan sikap sedemikian.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang turut dihubungi bagi mengulas gejala tersebut enggan memberikan ulasan.

Beliau secara ringkas berkata: "Saya tidak mahu komen apa-apa yang berkaitan dengan muktamar, minta maaf, terima kasih."

No comments: