Friday, May 29, 2009

Sivakumar tetap cabar SPR

Sivakumar tetap cabar SPR

KUALA LUMPUR 28 Mei – Walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak berhak mengisytiharkan kekosongan tiga kerusi DUN Bebas, namun V. Sivakumar tetap mempertahankan bahawa semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih boleh diteruskan.

Isu tersebut dibangkitkan oleh peguam mewakili Sivakumar, Sulaiman Abdullah ketika sebutan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas Speaker itu dan enam yang lain agar tiga kerusi DUN Bebas terbabit diisytiharkan kosong.

Sebutan permohonan itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan di kamar beliau hari ini.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Sulaiman menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menganggap permohonan Sivakumar sebagai suatu perkara yang sudah menjadi akademik.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said memberitahu, ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan itu, ia secara tidak langsung telah menjawab isu yang dibangkitkan Sivakumar dalam permohonan semakan kehakimannya itu.

Justeru itu, beliau menyifatkan permohonan Sivakumar menjadi suatu perkara yang akademik.

Pada 9 April lalu, pertikaian mengenai siapa yang paling berhak menentukan kekosongan tiga kerusi DUN terbabit selesai apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan SPR merupakan entiti yang layak berbuat demikian dan bukannya Speaker DUN.

Sehubungan itu, mahkamah tersebut telah mengisytiharkan tiga kerusi DUN berkenaan kekal milik Ahli DUN terdahulu.

Dengan kata lain, Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) merupakan ADUN yang sah bagi ketiga-tiga kerusi tersebut.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tersebut setelah ketiga-tiga ADUN berkenaan merujuk kes itu ke mahkamah tertinggi negara memandangkan ia melibatkan isu perlembagaan.

Mereka bertiga sebelum itu mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa keputusan Sivakumar yang menyatakan kerusi DUN yang diwakili mereka kosong adalah terbatal.

Hakim Bee Lan menetapkan 28 Julai ini sebutan semula permohonan tersebut.







Kes Sivakumar disebut 28 Julai


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dikemukakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Sivakumar, Sulaiman Abdullah dan Razlan Hadri Zulkifli serta Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said.

Kamaluddin ketika ditemui selepas itu, berkata peguam Sivakumar memaklumkan mereka ingin memfailkan afidavit tambahan tetapi beliau memberitahu, Mahkamah Persekutuan sudah mengeluarkan perintah bahawa SPR berhak menentukan sama ada kerusi Adun kosong atau sebaliknya.

No comments: