Friday, May 29, 2009

DUN Ladang kekal milik Pas

DUN Ladang kekal milik Pas

PUTRAJAYA 28 Mei – Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dari parti Pas.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian setelah menolak rayuan petisyen pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) bagi mencabar keputusan pilihan raya umum lalu.

Penghakiman sebulat suara itu turut diputuskan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Hakim Malanjum dalam penghakimannya berpuas hati bahawa tidak wujud kejanggalan yang ketara pada cara pengiraan undi pos.

Beliau menyatakan, hanya tiga undi pos yang tersalah kira dan kemudiannya ditolak kerana ketiadaan nombor siri dan juga terdapat perbezaan nombor pada kertas undi.

Bagaimanapun, Hakim Malanjum berpuas hati bahawa ketiga-tiga undi pos yang ditolak itu tidak akan memberi kesan kepada 31 undi majoriti yang diperoleh calon Pas.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak petisyen pilihan raya itu pada 22 September tahun lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 itu, Tengku Hassan mengalahkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh dari BN dengan majoriti tipis 31 undi. Tengku Hassan diwakili peguam Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan petisyen bagi membolehkan semakan dan kiraan semula dilakukan terhadap 127 undi pos yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari mengundi 8 Mac 2008.

Beliau selaku pempetisyen menamakan pegawai penyelia pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu Datuk Md. Razali Kassim, SPR dan ADUN Ladang sebagai responden.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak petisyen itu selepas memutuskan bahawa pempetisyen gagal membuktikan dakwaannya bahawa kerani SPR tidak menjalankan tugasnya dengan betul dalam pengendalian undi pos.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pihak pempetisyen dalam hujahnya sebelum ini menyatakan, kerani SPR cuai ketika mengeluarkan undi-undi pos ekoran kegagalannya menulis nombor siri pada Sampul Surat A dan Borang 2.

Akibat kecuaian itu, hujah beliau, 127 undi pos ditolak kerana nombor siri tidak dinyatakan seperti yang dikehendaki oleh Aturan 7 Peraturan Pilihan Raya (Undi Pos).

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Mohd Said berhujah, petisyen itu diputuskan dengan betul kerana terdapat bukti semasa perbicaraan bahawa nombor siri ditulis menggunakan pensil pada Sampul Surat A dan Borang 2.

No comments: