Pilih calon punyai rekod kesihatan baik - SPR
PUTRAJAYA 28 Mei - Perlukah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan peraturan yang mewajibkan seseorang calon dalam pilihan raya mempunyai rekod kesihatan yang baik?
Langkah itu bertujuan untuk memastikan setiap wakil rakyat tersebut dapat berkhidmat dengan lebih berkesan selain mengelakkan kebarangkalian berlakunya pilihan raya kecil yang terpaksa diadakan kerana berlaku kematian.
Dalam hal ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, suruhanjaya tersebut hanya boleh memberikan nasihat kepada parti-parti politik agar memilih calon wakil rakyat yang mempunyai rekod kesihatan yang baik.
''Saya nasihat elok pilih yang sihat, tetapi soal kematian ini kita tidak tahu kerana ada orang yang hari ini nampak sihat pun kalau ditakdirkan dia meninggal dunia, dia meninggal dunia juga, macam berlaku kemalangan.
''Kita minta janganlah ada kematian wakil rakyat lagi tetapi kalau ada juga kematian kita tidak boleh persoalkan, pilihan raya kecil tetap perlu diadakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di sini hari ini.
Abdul Aziz mengulas kekerapan berlakunya pilihan raya kecil dalam tempoh setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu.
Dalam perkembangan yang lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak boleh menyifatkan kempen Pilihan Raya Kecil DUN Penanti yang berlangsung sekarang adalah yang terbaik meskipun mengakui suasana di sana cukup tenang.
''Suasana begitu aman tetapi kita tidak boleh menjadikan ia sebagai contoh terbaik atau kayu ukur bahawa ia adalah pilihan raya kecil yang terbaik.
''Ini kerana parti utama iaitu BN tidak bertanding, jadi kita tidak boleh jadikan sebagai contoh," katanya.
Mengenai kenyataannya semalam bahawa pilihan raya kecil mungkin diadakan sekali lagi jika calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman menang dan didapati bersalah atas dakwaan memberi sogokan atau tawaran jawatan, Abdul Aziz menjelaskan, perkara itu tidak bermaksud SPR bertindak melampaui bidang tugasnya.
''Ia bermaksud sekiranya calon sendiri melakukannya tetapi sekarang ia tidak dapat disahkan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang siasat, bukan SPR yang siasat," katanya.
Mengenai dakwaan calon Bebas, Aminah Abdullah bahawa dia ditawarkan ganjaran wang dan jawatan, beliau menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.
''Kita tidak ada pegawai penguat kuasa undang-undang, SPR juga tidak buat siasatan kerana kita tidak ada pegawai penyiasat tetapi SPRM ada," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment