Friday, May 29, 2009

PwC dedah punca konflik PKFZ sering bermasalah

PwC dedah punca konflik PKFZ sering bermasalah

Oleh Wan Jailani Razak dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my

Kepentingan, kelemahan urus tadbir dikenal pasti jadi sebab

KLANG: Laporan juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) mendedahkan konflik kepentingan, kelemahan urus tadbir dan pengurusan sebagai punca utama projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dirundung pelbagai masalah.

Pengauditan juga mendapati beberapa pihak yang pernah mempunyai kepentingan dalam pemilikan tanah seluas 404 hektar yang menjadi tapak PKFZ, mempunyai kepentingan dalam Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), syarikat yang menjual tanah itu kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Laporan yang didedahkan semalam itu menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil yang memegang jawatan Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) adalah Pengarah LPK pada 2002 apabila KPPL menjual tapak PKFZ kepada LPK.

Sementara itu, Datuk Chor Chee Heung yang kini Timbalan Menteri Kewangan, memegang jawatan Pengerusi LPK antara April 2007 hingga Mac 2008, turut menjawat jawatan Timbalan Pengerusi (bukan eksekutif) Wijaya Baru Global Berhad (WGBG) antara April 2004 hingga Julai 2007, iaitu syarikat subkontraktor utama yang dilantik KDSB dalam projek PKFZ,

WBGB dan KDSB pula berkongsi kepentingan kerana mempunyai pemegang saham dan pengarah yang sama iaitu Datuk Seri Tiong King Sing.

Dua pengarah KDSB, Omar Latip dan Idris Mat Jani juga pemegang saham dan pengarah Wijaya Baru Sdn Bhd (WBSB). WGBG memiliki 45 peratus kepentingan dalam WBSB.

Selain itu, Rasid Asari & Co, yang bertindak selaku penasihat undang-undang LPK dalam beberapa perjanjian membabitkan PKFZ turut terbabit dalam urusan jual beli tanah antara KPPL dan KDSB pada 1995.

Semua pihak terbabit didapati tidak mengisytiharkan percanggahan kepentingan mereka ketika berurusan dalam projek PKFZ.

Laporan turut mendedahkan beberapa kelemahan pentadbiran dalam urusan pembelian tanah dan pembangunan antara LPK serta KDSB.

Walaupun Kabinet meluluskan pembelian tapak bagi pembangunan PKFZ, surat perintah pembangunan serta perjanjian sampingan selain perjanjian kerja tambahan antara LPK dan KDSB tidak dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet.

LPK dan Kementerian Kewangan juga didapati gagal memaklumkan kepada Kabinet mengenai ketidakupayaan LPK membiayai projek PKFZ, sebaliknya LPK memburukkan keadaan dengan menandatangani beberapa perjanjian pembangunan baru.

Siasatan PwC mendapati beberapa perjanjian utama, kerja tambahan bernilai RM62.5 juta, dan pelantikan pakar perunding utama tertentu tidak dikemukakan untuk kelulusan Lembaga LPK, sebaliknya diputuskan pihak pentadbiran LPK.

Selain itu, beberapa garis panduan kerajaan diabaikan, termasuk kegagalan mengemukakan semua perjanjian untuk disemak Jabatan Peguam Negara, tidak mematuhi peraturan Perbendaharaan dan pengeluaran surat sokongan serta bon jaminan kerajaan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Justeru, laporan itu menegaskan amat penting bagi PKA mengambil tindakan segera bagi melakukan penstrukturan semula pinjaman mudah dari Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion untuk mengelak kegagalan pembayarannya pada 2012.

PKFZ milik LPK yang lokasinya bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan pekilangan membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek gagal dan menjadi 'gajah putih'.

No comments: