Ceramah: Pemuda PKR buat laporan polis
BUKIT MERTAJAM 28 Mei - Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Semang di sini bagi membantah tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengadakan ceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua AMK Pusat, Fariz Musa bersama Ketua AMK Permatang Pauh, Shukri A. Hamid.
Menurut Fariz, pihaknya mendapati UMNO dan BN yang tidak menyertai pilihan raya di Penanti turut mengadakan siri ceramah di kawasan berkenaan.
"Buktinya kain rentang di hadapan Dewan Guar Perahu hari ini. Kami berasakan bahawa ini satu tindakan yang secara jelas UMNO dan BN mahu menyertai pilihan raya tetapi tidak dapat berbuat demikian," katanya ketika bercakap kepada pemberita di hadapan Balai Polis Kubang Semang di sini hari ini.
Beliau menyifatkan siri ceramah itu sebagai satu tindakan untuk mengganggu suasana ketenangan menjelang pilihan raya di Penanti Ahad ini.
"Jika mahu berceramah, buat di luar kawasan. Ini kawasan pilihan raya dan dalam suasana pilihan raya, kita tidak mahu sebarang insiden berlaku dan menyebabkan suasana tenteram dan stabil ketika ini terganggu.
"Sebab itu laporan ini dibuat supaya polis dapat mengambil tindakan menghentikan segera siri ceramah yang jelas bertujuan mengganggu sistem dan perjalanan pilihan raya di Penanti," jelasnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment