Friday, May 29, 2009

KAK MIN : 'Saya tak serang peribadi sesiapa'

'Saya tak serang peribadi sesiapa'

Oleh HASNURUL MOHAMED
utusanpenang@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 28 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah berkata, beliau tidak menyerang peribadi sesiapa ketika mendedahkan bukti kepada pihak media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung sogokan jawatan dan wang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebaliknya, tegas beliau, pendedahan itu dibuat ekoran pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atasnya ketika bersama PKR sebelum ini.

Menurutnya, walaupun diugut dan didesak supaya menarik balik dakwaannya, beliau berpegang pada pendirian tidak akan berganjak mahupun berundur.

"Pagi ini saya telah menerima notis tuntutan meminta saya membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik dakwaan yang dikatakan menjejaskan imej PKR.

"Saya tidak akan tarik balik dan saya telah menyerahkan notis tuntutan yang diterima hari ini kepada peguam untuk diteliti dan tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, bukan sikapnya mahu menyerang peribadi sesiapa tetapi kerana menyahut cabaran Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamad Hashim berhubung dakwaan tawaran jawatan dan wang itu.

Aminah pada 13 Mei lalu mendakwa dikunjungi dua ahli PKR di rumahnya di Jelutong dan ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) sekiranya beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Ahad ini dan menyertai semula parti itu.

Beliau juga ditawarkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan gantirugi sebanyak RM88,000 termasuk deposit bertanding DUN di Penanti.

Katanya, beliau juga mempunyai bukti dalam bentuk rakaman mengenai 'peristiwa' di sebuah hotel di Jawi, Nibong Tebal pada tahun 2007.

"Jangan salah faham, peristiwa yang berlaku itu bukannya perlakuan serong atau sumbang tetapi bukti mengenai ketidaktelusan dan ketidakadilan pemimpin dalam PKR," katanya.

No comments: