Friday, May 29, 2009

Kak Min janji dedah rahsia PKR

Kak Min janji dedah rahsia PKR


BUKIT MERTAJAM: Aminah Abdullah, calon Bebas pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti berjanji akan membuat 'kejutan besar' mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika parti itu terus memfitnahnya.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu berkata beliau tidak akan teragak-agak berbuat demikian terutama jika Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim terus menerus mengecamnya.

"Kak Min akan tengok rentak mereka dulu sebelum mendedahkan peristiwa lama yang menunjukkan sikap sebenar pemimpin PKR walaupun mengaku memperjuangkan keadilan.

"Saya akan buat keputusan nanti. Ketika ini, saya tidak tahu bila ia (kejutan besar) akan didedah, tapi saya ada bukti serta fakta," katanya ketika ditemui di bilik gerakannya di Simpang Tiga, Kubang Ulu dekat sini, semalam.

Isnin lalu, Aminah, 56, mendedahkan beliau ditawar jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang tunai RM80,000 jika menarik diri, selain jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika menang, dengan syarat menyertai semula parti itu.

Kelmarin, beliau mendedahkan satu peristiwa membabitkan Mohamed Zahrain di sebuah hotel di Nibong Tebal pada 2007 berkaitan rakaman Zahrain memaki dan memfitnah Aminah ketika masih memegang jawatan Ketua Wanita PKR.

Aminah berkata, beliau diherdik dan diserang Mohamed Zahrain bersama empat lelaki ketika pergerakan itu mengadakan seminar di hotel berkenaan.

"Jangan salah faham. Peristiwa itu bukannya perlakuan serong atau sumbang tetapi bukti mengenai ketidaktelusan, ketidakadilan pemimpin PKR," katanya.

No comments: