Thu | Nov 01, 07 | 2:36:04 pm MYT
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Pihak polis meminta penganjur Perhimpunan Rakyat pada 10 November nanti, Gabungan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) memohon permit bagi mengadakan program tersebut.
Menurut jurucakap Bersih, Sivarasa Rasiah, pihak polis menggesa Bersih mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan agar mendapatkan permit berdasarkan Akta Polis 1997.
"Namun begitu, kami juga menyatakan bahawa berdasarkan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), perhimpunan aman tidak memerlukan permit dan undang-undang dicipta bukan untuk menyekat rakyat berhimpun," ujar Sivarasa selepas sesi perbincangan bersama ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zulhasnan Najib yang turut dihadiri oleh semua ketua polis daerah Kuala Lumpur, serta ketua-ketua bahagian polis.
Walau bagaimanapun katanya, Bersih akan mempertimbangkan semula tindakan selanjutnya sebelum membuat apa-apa ketetapan mengenai permit tersebut.
"Kami akan merujuk semula kepada Jawatankuasa Bersih selepas ini, mengenai permintaan yang dikemukakan oleh polis," katanya dalam sidang akhbar di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, pagi tadi.
Dalam perbincangan selama setengah jam tersebut, pegawai-pegawai polis diterangkan mengenai program perhimpunan tersebut selain penjelasan tuntutan yang telah dikemukakan Bersih untuk dibawa kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 10 November nanti.
Menurut AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, pihak polis menerima baik pendekatan yang digunapakai Bersih dan kedua-dua pihak saling memahami fungsi serta peranan yang dimainkan.
Selain itu, rombongan tersebut juga membincangkan mengenai keselamatan dan kawalan lalu lintas semasa perhimpunan tersebut lantaran ia akan melibatkan jumlah kehadiran yang besar.
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan AJK KeADILan, Liew Chee Tong.
Bersih akan melancarkan kempen Gelombang Kuning pada 3 petang ini di Pasar Seni, Kuala Lumpur. - mns
No comments:
Post a Comment