Thursday, October 25, 2007

Harapan tinggi tagih komitmen Anwar, Nik Aziz ketuai himpunan 10 Nov

Abdullah A Karim
Thu | Oct 25, 07 | 7:01:10 pm MYT

Hanya tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi sebelum tiba detik 10 November yang bakal menyaksikan berlangsungnya Himpunan Aman Rakyat Malaysia bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada BERSIH dan Jawatankuasa Induk himpunan tersebut yang bekerja keras bagi menjayakan perhimpunan tersebut. Hingga sekarang ini boleh dikatakan hampir setiap hari mereka bermesyuarat dan mengadakan pertemuan-pertemuan, di samping turun menjelajah ke seluruh negara untuk memobilisasi rakyat untuk turun beramai-ramai pada hari tersebut.

Keghairahan di tahap rendah

Namun, selaku pemimpin parti di peringkat akar umbi, saya semacam merasakan bahawa keghairahan dan mood untuk turun ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut masih berada pada tahap yang rendah. Jangan lagi sebut pada tahap ini untuk mengembleng kehadiran rakyat terbanyak, sedangkan di kalangan ahli-ahli parti yang tegar sekalipun (baik PAS, KeADILan atau DAP) semangat untuk turun berhimpun pun masih tidak terasa.

Inilah realiti yang berlaku di peringkat bawah.

Saya gusar kalau akhirnya perhimpunan ini, yang telah diuar-uarkan sejak setahun yang lalu akan berdepan dengan kegagalan. Penanda arasnya adalah sebanyak mana rakyat yang berjaya kita kumpulkan.

Saya amat sedih apabila bertemu dengan seorang pimpinan PAS di peringkat kawasan dimana bila saya mengajukan pertanyaan, apakah persiapan yang telah dibuat oleh kawasannya untuk menggerakkan ahli-ahli PAS untuk berhimpun di Kuala Lumpur pada 10 November, dia dengan muka selamba mengatakan bahawa kita tidak perlu bersusah payah kerana himpunan tersebut adalah anjuran BERSIH, bukannya anjuran PAS!

Ubah persepsi

Mungkin bagi hamba Allah ini nilai dan ganjaran di sisi Allah untuk turun berdemo di Kuala Lumpur 11 November ini tidak sama dengan ganjaran apabila kita berhimpun mengutuk kekejaman Israel atau mengecam karikatur menghina Rasulullah.

Saya yakin sentimen sebegini juga turut dikongsi oleh ramai ahli PAS di seluruh negara.

Antara faktor yang saya rasa menyumbang atas kelesuan ini adalah disebabkan hingga ke saat ini tidak ada kenyataan terbuka dari pimpinan tertinggi parti-parti alternatif bagi mereka menyatakan komitmen untuk turun mengetuai himpunan tersebut.

Sepanjang yang saya ingat, Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga ke saat ini tidak pernah memberi penegasan (dari mulutnya sendiri, bukan melalui orang lain) bahawa beliau akan mengepalai himpunan tersebut.

Bahkan ada khabar-khabar angin yang menyatakan pada tarikh tersebut Dato' Seri Anwar tidak berada Malaysia kerana terbang ke Eropah dan Timur Tengah. Kalau perkhabaran ini tidak benar, silakan Dato' Seri menafikannya secara terbuka.

Begitu juga dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat juga belum memberikan komitmen sedemikian untuk beliau sendiri turun ke Kuala Lumpur pada 10 November, jauh sekali daripada mengarahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Sebahagian besar ahli PAS menganggap kata-kata Dato' Nik Aziz sebagai keramat. Beliau adalah lambang semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara.

Cara mudah capai target 100,000

Kalau Dato' Nik Aziz selaku seorang Tuan Guru, mengeluarkan satu kenyataan terbuka bahawa beliau akan mengepalai rakyat Kelantan ke Kuala Lumpur dan mengarahkan ahli-ahli PAS seluruh negara keluar beramai-ramai, maka saya yakin angka 100,000 peserta amat mudah untuk dicapai.

Kalau Tok Guru Nik Aziz berkerusi roda sekalipun, kami Pemuda PAS akan menolak kerusi tersebut laksana Pemuda Hamas menolak kerusi roda as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin bagi memimpin Intifadhah!

Saya juga hingga kini masih belum mendengar walau sepatah pun kata daripada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat untuk mengemblengkan para ulama. Kalau Dewan Ulama berterusan lesu begini, maka para ulama wajar berasa malu dengan sami-sami Buddha di Myanmar yang mengepalai barisan hadapan dalam siri himpunan menentang junta tentera Myanmar hingga ada yang terkorban.

Rasa berdosa

Bagi saya yang daif ini, seluruh pimpinan dan ahli PAS yang memandang remeh atau merasa diri terlalu 'mulia' untuk turun bersama kami dalam himpunan 10 November itu nanti, kalian wajar berasa berdosa. Kepimpinan PAS di seluruh peringkat telah bersetuju sebulat suara untuk mengadakan himpunan menuntut pilihan raya yang adil ini sewaktu usul berkaitan dengannya dibentangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat sewaktu Muktamar PAS di Kota Bharu bulan Jun yang lepas.

* Abdullah ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang merangkap AJK Mobilisasi Himpunan 10 November PAS Pusat

No comments: