PUTRAJAYA 24 Okt. - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, tarikh Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kekal pada 5 hingga 9 November ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dari kalangan ahli yang meminta perhimpunan tahunan itu ditangguh ke tarikh lain selain dari yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) itu.
‘‘Perhimpunan Agung UMNO itu akan dimulakan dengan amanat Presiden pada 5 November dan pada sebelah malamnya, Timbalan Presiden akan merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri secara serentak.
‘‘Pada 6 November, ketiga-tiga sayap parti akan bersidang secara serentak dan kemuncaknya adalah ucapan Presiden pada 7 November dan diikuti dengan perbahasan dan usul oleh para perwakilan pada 8 dan 9 November,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.
Tarikh asal Perhimpunan Agung UMNO tahun ini ialah pada 6 hingga 10 November tetapi MT dalam mesyuaratnya pada 28 Ogos lalu memindanya sehari lebih awal bagi mengelakkan bertembung dengan sambutan Deepavali.
Jika mengikut jadual asal, Presiden UMNO akan menyampaikan ucapan dasarnya pada 8 November iaitu pada hari Deepavali.
Dalam pada itu, Radzi memberitahu, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut dijemput untuk menghadiri perhimpunan itu.
‘‘Kad jemputan itu telah saya hantar kepada beliau semalam,” katanya.
Seramai 2,500 perwakilan daripada 190 bahagian termasuk barisan kepimpinan parti akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO itu dengan setiap bahagian akan diwakili oleh 13 orang perwakilan.
Perhimpunan selama lima hari itu akan menyaksikan 190 bahagian membentangkan usul masing-masing selain UMNO Bahagian Jelutong yang digantung kerana masalah dalaman.
No comments:
Post a Comment